KESEMUA lapan peserta yang bertanding dalam program hiburan Islamik, Hijrahkan Laguku meneruskan persaingan ke minggu hadapan apabila tiada penyingkiran pada konsert minggu kedua rancangan terbitan TV AlHijrah itu.

Hijrahkan Laguku menampilkan gabungan penyanyi lama dan baharu dalam industri hiburan tanah air yang akan menyampaikan mesej positif serta dakwah menerusi lagu pilihan yang digubah liriknya.

Bertemakan Growing Up, persembahan minggu kedua meninggalkan kesan mendalam apabila separuh daripada artis terlibat memilih untuk membuka persembahan mereka dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta potongan doa.

Zaf VE memulakan persembahan dengan lagu Can’t Live My Life Without You, Zack Kool (Bisikan Kalbu), Iwan Syahman (Solatlah Dulu), Mark Adam (Rapuh), Datuk Nash (Asli), Adam (Ampuni Aku), Rahmad Mega (Jangan Lupa Diri) dan Shahir (Kepadamu Kekasih).

Nash dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi persembahan mantap  yang ditampilkan pada minggu ini sekali gus mengungguli tempat pertama dengan markah 77 peratus (%).

Kemenangan itu melayakkannya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3000, namun memilih untuk menyumbangkan wang kemenangan itu kepada salah sebuah badan NGO yang akan dikunjunginya bersama pasukan CSR Hijrah Prihatin Hijrahkan Laguku iaitu Pusat Genius Kurnia.

Kesemua peserta yang bertanding diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki sebagai juri tetap, Hazamin Inteam (Juri Jemputan) dan Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff (pendakwah jemputan).

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna Zulkarnaen Mokhtar berkata, minggu kedua Hijrahkan Laguku tampil sedikit berbeza apabila pihak produksi menampilkan juri tambahan iaitu Hazamin Inteam.

Iklan

“Minggu pertama Hijrahkan Laguku dilihat sedikit tegang apabila media sosial kami dipenuhi dengan lambakan komen-komen netizen mahukan juri tambahan yang berpengalaman luas dalam penggubahan lirik lagu ketuhanan selain Fauzi Marzuki.

“Kami yakini kredibiliti Fauzi Marzuki sebagai juri tetap, namun kami turut mengambil kira pandangan penonton yang mahukan penambahbaikan.

Iklan

“Minggu kedua dan seterusnya, kita tambah lagi seorang juri jemputan yang berpengalaman dalam rencah lirik lagu dakwah dan ketuhanan,” jelasnya.

Hijrahkan Laguku yang menampilkan Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos itu bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam.