MESKIPUN terkesan dengan situasi pandemik Covid-19 yang belum menunjukkan tanda akan berakhir, penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui masih setia dengan kerjaya nyanyian yang diceburinya lebih dua dekad lalu.

Jika ramai kalangan rakan artis yang mula mencari pendapatan sampingan menerusi perniagaan dan sebagainya untuk meneruskan kelangsungan hidup, Dayang memilih untuk terus fokus dengan apa yang dilakukan kini.

“Saya tak nafikan memang semua orang terkesan sepanjang penularan Covid-19 ini dan tidak terkecuali diri saya.

“Lebih 10 tawaran persembahan yang diterima sebelum ini telah ditangguhkan, tidak kurang juga yang terus senyap sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun saya tidak pernah merungut kerana faham dengan situasi yang berlaku dan jelas dengan kesan dirasai pelbagai pihak termasuk penganjur persembahan,” ujar Dayang.

Bagaimanapun pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 39, mengakui rindu untuk kembali beraksi di pentas dan menghiburkan peminat setelah beberapa bulan tidak dapat membuat persembahan.

Terbaru pelantun lagu Di Pintu Syurga itu bakal tampil dalam Konsert Online High5 Joox yang akan berlangsung apda 15 Ogos, jam 9 malam menerusi aplikasi Joox.

“Konsert online ini merupakan sesuatu yang baharu buat semua. Kita masih mengadakan persembahan secara live, cuma ia dilakukan di studio tanpa penonton.

“Kalau ikutkan, saya memang lebih suka mengadakan persembahan di depan penonton kerana suasana dan feel cukup berbeza, namun dalam situasi sekarang mungkin pendekatan begini yang paling sesuai untuk mengadakan persembahan.

“Sekurang-kurangnya kita masih dapat membuat persembahan untuk menghiburkan orang ramai biarpun dengan cara berbeza,” akuinya.

Mengukur pada pengalaman dan pencapaiannya sebagai anak seni, ramai yang menganggap Dayang kini eksklusif dan berada di kelasnya yang tersendiri.

Bagaimanapun bagi Dayang, dia tidak pernah meletakkan dirinya eksklusif, sebaliknya sebagai penghibur untuk semua.

“Saya tidak pernah rasa diri eksklusif sehingga meletakkan syarat tertentu untuk sebarang kerjasama.

“Saya juga terbuka menerima sebarang undangan memeriahkan acara jika mempunyai kelapangan.

“Cuma sebaiknya ia mempunyai tujuan bersesuaian yang memerlukan saya hadir untuk sesuatu acara,” akuinya.

Iklan

Duta produk kosmetik Bungaa

Dalam pada itu, Dayang yang ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta produk kosmetik Bungaa di Royale Chulan Damansara baru-baru ini mengakui sangat mementingkan penampilan diri bagi memastikan dirinya sentiasa yakin berdepan orang ramai ramai.

“Memang saya tak nafikan sangat menjaga penampilan diri ketika berada di pentas untuk memastikan ia bersesuaian dengan imej yang saya bawa bagi memastikan diri selesa dan yakin ketika berdepan dengan penonton,” katanya.

Bagaimanapun, anak kelahiran Sarawak itu menolak untuk melakukan sebarang rawatan kosmetik atau pembedahan wajah untuk tampil sempurna.

Menurut Dayang, dia lebih selesa untuk melakukan rutin kecantikan biasa yang dilakukan kebanyakan wanita seusianya.

“Apabila usia semakin meningkat, saya lebih mengutamakan regim penjagaan kulit berbanding solekan kerana bagi saya apabila kulit sihat, solekan yang sedikit pun sudah mampu menyerlahkan kecantikan kita.

Iklan

“Saya tidak pernah terfikir untuk melakukan rawatan kosmetik pada bahagian wajah dan sebolehnya cuba mengelakkan kerana bimbang dengan kesan dalam jangka masa panjang.

“Biarlah tua secara semula jadi dan terimalah seadanya. Bagaimanapun, saya tidak menentang pendirian seseorang untuk berbuat demikian kerana itu hak masing-masing.

“Jika cara itu boleh membuatkan mereka rasa lebih yakin, terpulanglah pada mereka. Cuma kalau boleh, janganlah berlebihan kerana takut ia akan memberikan kesan sebaliknya,” katanya.

 

(FOTO: Bunga Kosmetik)