Dayang Nurfaizah martabat kembali lagu Melayu klasik dalam Belagu
IMPIAN penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah untuk tampil dengan sebuah album Melayu asli akhirnya terlaksana.
Album studio kesembilan itu diberi judul Belagu, dipetik daripada perkatakan dialek Melayu Sarawak yang membawa maksud 'menyanyi'.
Berkongsi mengenai pembikinan album yang membariskan lagu Melayu klasik malar segar seperti Tudung Periuk itu, Dayang berkata, ia disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito.
“Impian menghasilkan album mengandungi lagu klasik ini sudah lama dan saya juga mempunyai senarai lagu yang dimahukan.
“Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampaiannya.
“Projek ini begitu istimewa kerana sebagai anak seni, ia menjadi satu cara untuk menghargai artis lama dan karya mereka.
“Menjadi tanggungjawab saya sebagai anak seni untuk bawa lagu ini ke telinga generasi baharu.
“Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai pembikinan Belagu, Dayang, 39, berkata, antara keistimewaan lain album itu adalah rakaman dibuat secara langsung dalam masa dua hari dengan ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar, diiringi pemuzik-pemuzik hebat yang dipimpin oleh Aubrey Suwito.
Biarpun berhadapan dengan banyak cabaran, namun Dayang memilih untuk mencabar diri bagi memberi hasil terbaik.
“Alhamdulillah saya dapat mengatasi cabaran itu, lagipun sesi perbincangan dengan Aubrey sudah dilakukan sejak tahun lalu.
“Jadi saya putuskan untuk buat rakaman dalam tempoh dua hari sahaja kerana tidak mahu feel itu hilang. Hari pertama saya cuma rakamkan tiga lagu dan hari kedua, lima lagu,” jelasnya.
Antara lagu lain yang turut terdapat dalam album Belagu ialah Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Husaini), Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doamu.
Belagu diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Lagu pertama dalam album tersebut iaitu Tudung Periuk boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 15 Januari.
Album Belagu edisi digital akan dilancarkan pada 12 Febuari depan.
Biasakan diri
Ditanya mengenai rangka promosi Belagu, lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang masih berperang dengan virus Covid-19, Dayang berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan, kerja tetap perlu diteruskan seperti biasa.
“Pada awalnya kami merancang untuk mengadakan mini showcase seiring dengan pelancaran album ini. Namun situasi sekarang tidak mengizinkan akibat PKP. Insya-ALLAH, saya berharap dapat merealisasikan juga mini showcase itu nanti.
“Cuma mujur sekarang kita berada dalam zaman teknologi, jadi semuanya di hujung jari sahaja. Saya juga gunakan teknologi untuk mempromosikan album.
“Bagi mereka yang masih sukakan album fizikal, kami tetap keluarkan tetapi terhad kepada 2,000 unit sahaja,” jelasnya.
Dayang berkata, dia juga semakin membiasakan diri hidup dalam norma baharu dan terpaksa akur apabila banyak persembahan terpaksa dibatalkan.
“Saya memang risau dengan keadaan sekarang tetapi kita kena biasakan. Kena bijak sesuaikan diri dan urus kehidupan sekarang.
“Macam saya sebagai penyanyi, memang banyak persembahan dibatalkan dan terpaksa bergantung pada persembahan TV sahaja sekarang.
“Harap keadaan Covid-19 di negara kita dan seluruh dunia akan semakin baik tahun ini, Insya-ALLAH,” akhirinya.
[embed]https://youtu.be/z3KGbbS_60o[/embed]
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang