PERKEMBANGAN pesat platform digital sejak akhir-akhir ini menyaksikan kemunculan ramai penggiat muda berbakat dalam penghasilan kandungan kreatif digital, sekali gus mendorong kepada penubuhan Pertubuhan Pencipta Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM).

DCAM berhasrat menyatukan penggiat seni di platform digital itu dalam usaha membantu mereka bergerak lebih jauh dalam mengembangkan bakat serta kreativiti dalam bidang tersebut.

Presidennya, Ghaz Abu Bakar berkata, idea penubuhan DCAM tercetus apabila menyedari ramai bakat muda di luar sana aktif menyalurkan kreativiti mereka di platform digital.

“Idea menubuhkan DCAM tercetus lebih tiga tahun lalu ketika saya dan pelakon Esma Daniel mengadakan bengkel First Rate Film Project anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk melahirkan pengarah baharu.

“Kami berjaya melahirkan ramai peserta yang kini aktif dalam bidang pengarahan di TV. Mereka bukan sahaja terdiri daripada penggiat baharu, tetapi ada antaranya yang sudah berpengalaman tetapi memiliki kemahiran dalam bidang berbeza.

“Jadi apabila Finas menjemput pemain industri yang ingin menubuhkan persatuan baharu dengan matlamat baharu, saya dan Esma menyahut cabaran itu dengan memperkenalkan DCAM,” ujarnya ketika ditemui di sidang media secara maya baru-baru ini.

DCAM yang didaftarkan pada 27 April lalu membuka penyertaan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dalam mencipta, menerbit, mengarah dan menyunting kandungan secara digital untuk menjadi ahli.

“Saya melihat trend dan perubahan teknologi sejak beberapa tahun ini terutamanya ketika pandemik Covid-19 begitu terarah kepada penggunaan media sosial seperti YouTube, Instagram dan Tiktok.

“Ia menjadi platform baharu orang ramai untuk buat konten, sekali gus menjana pendapatan hasil daripada kreativiti mereka.

Iklan

“Menerusi DCAM, saya berharap dapat membantu mereka menghasilkan kandungan digital yang lebih berkualiti, selain menyediakan platform untuk mereka mengetengahkan bakat dan kreativiti ke peringkat lebih tinggi,” jelas Ghaz.

Sementara itu, DCAM kini dalam perancangan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan untuk menarik lebih ramai pencipta kandungan kreatif digital menyertai pertubuhan yang turut digerakkan oleh pelakon Nam Ron sebagai Naib Presiden dan Esma Daniel selaku setiausaha kehormat.

Iklan

“Pada Ogos depan, kami bakal mengadakan seminar yang akan mengumpulkan seramai mungkin pencipta kandungan kreatif bagi berkongsi idea dan kaedah untuk memajukan dan memasarkan konten yang mereka hasilkan.

“Beberapa program lain turut diatur termasuk webinar filem pendek yang akan memberi peluang peserta menghantar proposal mereka untuk dinilai, sebelum dipilih 10 yang terbaik bagi mendapatkan dana daripada Finas,” kata Esma Daniel.

DCAM mempelawa penggiat kandungan kreatif digital untuk mengambil peluang tersebut dengan menjadi ahli mereka. Penyertaan boleh dibuat dengan mengisi borang keahlian DCAM menerusi laman sesawang www.dcam.my.