JIKA ditanya siapakah penyanyi terbaik di Malaysia, pastinya nama Dayang Nurfaizah antara yang menjadi sebutan.

Bakat besar dan kualiti vokal yang dimiliki selebriti itu meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri.

Kejayaan demi kejayaan diraih menunjukkan bukti dan kerja keras beliau selama lebih dekad dalam arena seni.

Namun, kelebihan yang diraih bukan alasan untuk mendabik dada. Sebaliknya, Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty sangat terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa pun, waima dengan penyanyi baharu.

Selepas Hael Husaini dan Zynakal, anak jati Kuching, Sarawak itu memilih untuk berkolaboratif bersama juara program Akademi Fantasia 2016 dan finalis Anugerah Juara Lagu ke-35, Amir Masdi menerusi lagu Debu.

Lagu bergenre balada moden tersebut merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim.

Menariknya, ia juga adalah usaha sama sulung di antara dua syarikat rakaman tempatan ternama di negara ini iaitu Nova Music dan Faithful Music. Lagu dan video muzik rasmi Debu telah dilancarkan serentak pada 22 Februari lalu.

Dayang mengagumi bakat Amir sejak menjadi juri program Big Stage yang disertai Amir sebelum ini.

Berkongsi mengenai perkembangan mengujakan itu, Dayang berkata, projek berkenaan berlaku secara kebetulan. Pun demikian, baginya bakat Amir Masdi begitu luar biasa terutama ketika muncul di pentas Big Stage musim ketiga tahun lalu.

“Sejujurnya, saya memang belum ada perancangan nak ada lagu duet lagi. Pada awalnya, lagu itu diberi kepada saya untuk lagu solo dan ketika mendengar demo, saya tertarik dengan vokal penyanyi itu.

“Saya rasa sedap pula dan macam dah cantik untuk lagu itu jika dinyanyikan secara duet. Kemudian pihak Faithful mencadangkan untuk berduet dengan Amir. Selepas menontonnya membuat persembahan pada program Big Stage, saya yakin dengannya dan saya rasa dia boleh pergi jauh pada suatu hari nanti,” katanya ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Ungkap Dayang, sebaik suara kedua-duanya digabungkan, nyanyian mereka kedengaran begitu sempurna. Debu bukan seperti single duet yang lain, ia berbeza dan unik, ujarnya.

Melanjutkan bicara, penyanyi berusia 41 tahun itu menegaskan, tiada istilah memilih dalam kamus kerjayanya, jauh sekali memandang populariti sebagai syarat jika ingin bekerjasama dengan mana-mana artis.

“Saya selalu cakap, saya tak pilih nak berduet dengan siapa, sama ada lelaki mahupun perempuan. Apa yang penting adalah kesesuaian lagu, sebab duet ini adalah mengenai dua suara yang perlu saling memberi.

“Selain itu, saya suka proses yang dilalui. Kalau solo, kita kena fokus seorang, tetapi berbeza dengan lagu duet, kita kena bertukar idea dengan rakan penyanyi.

“Kalau orang nak kata saya berduet dengan bakat baharu untuk survival kerjaya saya dan untuk membuatkan saya kekal relevan, itu adalah bonus untuk saya,” jelasnya yang merancang untuk hadir dengan single solo tidak lama lagi.

Iklan

Pegang nasihat ibu

Tidak lengkap rasanya jika tidak mendapatkan reaksi balas Amir atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi.
Kepada SinarPlus, Amir berkata, ‘penyatuannya’ dengan Dayang dalam lagu Debu umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Boleh dikatakan, setiap kali ditanya dengan siapa artis wanita yang saya nak berduet, saya akan cakap Dayang Nurfaizah.

“Ini memang antara impian saya. Bila saya nampak Dayang di dalam studio, saya rasa teruja. Dayang seorang yang sangat merendah diri untuk seseorang yang sudah ada nama besar dalam industri.

“Perkara itu membuatkan saya terharu dan rasa sangat dihargai. Dayang tak kira sama ada saya pendatang baharu atau tidak, beliau tetap layan saya sama macam semua orang,” ujarnya turut berharap agar pertaruhan terbaharu itu membawa Debu melangkah ke Anugerah Juara Lagu.

Iklan
Amir berpegang kepada nasihat ibu dalam mengharungi onak ranjau sebagai anak seni.

Dalam pada itu, berbual mengenai perjalanan karier seninya, jejaka berusia 26 tahun itu menyifatkan tempoh enam tahun yang direntasnya cukup memuaskan.

Tidak terlalu mengejar populariti, sebaliknya Amir lebih selesa berpegang teguh kepada nasihat ibunya.

“Saya tidak nafikan perjalanan saya dalam industri tidaklah terus ‘meletup’. Perkembangan setiap orang itu berbeza. Apa yang boleh saya katakan, perjalanan saya dalam industri ini sedang elok sahaja. Saya berpeluang belajar banyak benda.

“Bagi saya, kontroversi bukan pilihan terbaik untuk dikenali. Saya juga percaya pada rezeki serta berpegang kepada nasihat emak saya iaitu percaya pada bakat dan diri sendiri. Itu yang membuatkan saya kuat untuk terus melangkah dalam industri,” katanya sambil menambah, usaha ke arah pembaikan diri sentiasa dibuat dari semasa ke semasa.

Melihat kepada paduan suara dua penyanyi daripada dua genre dan latar berbeza, SinarPlus yakin, formula itu dapat mencetuskan fenomena dalam industri seni tempatan.