Deja Moss hadiahkan buku biografi sebelum berhijrah ke Chicago

DEJA MOSS
DEJA MOSS
A
A
A

BIARPUN lama menyepikan diri dalam industri hiburan tanah air, penyanyi bersuara lantang, Deja Moss mengakui minatnya pada bidang nyanyian tidak pernah berkurang.

Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Hadijah Wan Moss, bukan dia tidak mahu tampil dengan karya baharu sebagai pengubat rindu buat peminat yang masih setia menyokongnya, namun pandemik Covid-19 membataskan segala-galanya.

“Bukan saya tidak mahu menghasilkan single baharu, namun proses pemilihan lagu memakan masa dan tidak mudah buat masa ini.

“Tambahan pula, negara masih berdepan kemelut Covid-19. Jadi, saya perlu mencari alternatif lain untuk mendekati peminat yang berterusan menghargai perjuangan saya sebagai anak seni selama ini,” katanya.

Tidak dengan lagu baharu, sebaliknya penyanyi yang pernah menempa nama menerusi lagu Asmara Ini dan Barangkali itu tampil dengan sebuah buku autobiografi yang merakamkan perjalanan jatuh bangun dalam kehidupannya.

Menurut wanita berusia 48 tahun itu, buku berjudul Hidupku Takdirku itu mempunyai pengertian tersendiri buat dirinya.

Karya yang diterbitkan dalam versi cetakan dan e-book serta dijual di Shopee itu menjadi tanda ingatan istimewa buat peminat sebelum memulakan kehidupan baharu bersama suami di Chicago, Amerika Syarikat tidak lama lagi.

“Idea penghasilan buku ini tercetus sekitar pertengahan tahun lalu dan saya bersyukur impian itu menjadi kenyataan meskipun terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk menyiapkannya.

“Melihat situasi semasa, saya terfikir untuk menghasilkan sebuah buku yang dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada wanita, terutama mereka yang sedang berdepan episod sukar dalam kehidupan dan tercari-cari kekuatan bangkit semula.

“Saya anggap penerbitan buku inspirasi ini sebagai bingkisan hati buat peminat tersayang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penceritaan dalam buku tersebut merangkumi pelbagai episod yang pernah menguji kekuatannya, termasuk membongkar episod saat dirinya berdepan kemurungan apabila dibelenggu masalah peribadi sehinggalah kepada perjuangannya mencari keredaan Ilahi.

“Saya berharap garapan ini menjadi pemangkin buat wanita yang pernah tersungkur supaya berani mengumpul kekuatan kerana tiada siapa dapat mengubah nasib diri kecuali kita sendiri,” katanya.

Deja mendirikan rumah tangga dengan lelaki keturunan Amerika-Syria, Maher Khani di Chicago, Amerika Syarikat pada Jun, 2019.

Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal tahun lalu membuatkan mereka terpaksa berjauhan apabila Deja perlu kembali ke tanah air bagi menyelesaikan beberapa urusan peribadi.

“Lebih setahun juga kami hanya berkomunikasi menerusi telefon dan panggilan video. Sepanjang tempoh itu, saya banyak berdoa supaya Allah permudahkan kami untuk bersatu kembali dan menjalani rutin kehidupan berumah tangga seperti pasangan lain.

“Alhamdulillah, ia akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Memang berat apabila terpaksa meninggalkan semua di tanah air, tetapi saya akur tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca