GANDINGAN suara penyanyi Wany Hasrita dan Tajul sebelum ini pernah mencuri perhatian ramai dan dianggap pasangan duet serasi.

Single duet mereka sebelum ini seperti Di Sana Cinta Di Sini Rindu yang dirakamkan pada tahun 2017, Rindu Dalam Benci (2018) dan Aku Serius (2018) berjaya menaikkan nama mereka sebagai pasangan duet popular.

Bagaimanapun kerjasama tersebut terhenti seketika sejak tiga tahun lalu selepas timbul spekulasi mengatakan persabahatan mereka retak sehingga masing-masing memfokuskan kepada single solo.

Namun siapa sangka bagi menutup tirai 2021, Wany dan Tajul yang masih bernaung di bawah syarikat rakaman sama, FMC Music, tampil mengubat rindu peminat dengan single duet terbaharu mereka, Tragedi Cinta.

Wany dan Tajul kembali berduet atas permintaan peminat.

Menurut Wany, rakaman semula lagu ciptaan Eddie Hamid serta Radeen Sri yang merupakan nyanyian asal Siti Nordiana dan Allahyarham Acik itu diharapkan dapat menggamit nostalgia lalu bersama peminat.

“Kali terakhir saya dan Tajul tampil dengan single duet sekitar tiga tahun lepas. Jadi ramai peminat yang menantikan kemunculan single terbaharu kami.

“Selain mengubat kerinduan peminat, saya dan Tajul juga ingin mengembalikan nostalgia masa lalu menerusi lagu yang cukup indah ini,” ujar Wany.

Pun begitu, penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2018 tersebut berharap peminat tidak membandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal lagu tersebut.

“Saya harap peminat tidak membandingkan nyanyian kami dengan penyanyi asal lagu ini.

“Pada saya yang lama tetap istimewa. Kami menyanyikan lagu ini dengan cara dan keserasian kami tersendiri,” tegasnya.

Profesional dalam kerja

Sementara itu, Tajul yang juga adik kepada Allahyarham Achik mengakui cukup menyukai lagu tersebut dan menyifatkan ia bersesuaian dengan vokalnya dan Wany.

“Ramai peminat minta saya kembali berduet dengan Wany. Jadi bila berbincang dengan syarikat rakaman, mereka mencadangkan kami menyanyikan kembali lagu Tragedi Cinta.

“Saya tak kisah jika ada membandingkan vokal saya dalam lagu ni dengan penyanyi asal kerana Achik itu abang saya dan sedikit sebanyak mesti ada sedikit persamaan. Namun ia bukan bermakna saya tiru cara nyanyian Achik.

“Saya percaya cara nyanyian Wany pun tidak sama dengan Siti Nordiana. Saya selesa berduet dengan Wany kerana bagi saya suara Wany sangat sedap dan vokal kami serasi bila digabungkan,” katanya.

Biarpun pernah digosip mempunyai hubungan istimewa sebelum ini, pasangan duet itu mengakui bersikap terbuka dan sentiasa profesional dalam kerja.

Tidak timbul soal peminat akan kembali memperkatakan tentang hubungan mereka kerana Tajul sudahpun berumah tangga dan bergelar bapa kepada dua cahaya mata. Tegas Wany, kolaboratif mereka hanyalah berkaitan kerja dan atas pemintaan peminat.

Tragedi Cinta telahpun dilancarkan di semua platform muzik digital bermula 9 Disember lalu dan kini sudahpun trending di saluran YouTube.

 

(FOTO: FMC MUSIC)