AKTRES terkenal Hollywood, Angelina Jolie akhirnya memilih untuk membuka akaun Instagram miliknya, secara rasmi pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, bintang Maleficent itu sememangnya tidak pernah memiliki sebarang akaun media sosial dan selesa dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, demi menyuarakan hak-hak kemanusiaan dan konflik yang sedang berlaku di Afganistan, Jolie mengubah fikirannya dan terbuka hati untuk mewujudkan akaun Instagram sendiri.

Menerusi hantaran pertamanya, Jolie, 46, memuat naik sepucuk surat bertulisan tangan yang diterimanya daripada seorang remaja wanita Afganistan yang berkongsi kebimbangan dan ketakutannya berhubung penguasaan Taliban di negara itu.

“Ketika ini masyarakat Afghanistan kehilangan kemampuan untuk berkomunikasi di media sosial dan mengekspresikan diri secara bebas.

“Jadi saya tampil di Instagram untuk berkongsi kisah dan suara mereka kepada seluruh dunia bagi memperjuangkan hak mereka,” tulisnya.

Iklan

Hantaran tersebut menerima lebih 2 juta tanda suka, selain lebih 100,000 komen daripada para pengikutnya.

Semenjak diwujudkan, akaun Instagram milik Jolie itu berjaya menarik lebih lima juta pengikut dalam tempoh tidak sampai 24 jam.  Malah, menerusi kemas kini terbaru, jumlah tersebut kini melonjak sehingga 6.7 juta pengikut.

Iklan

Tidak hairanlah Jolie memilih platform tersebut sebagai ruang terbaik untuknya membantu rakyat Afganistan dalam menyuarakan hak mereka kepada dunia.

Jolie yang juga merupakan ibu kepada enam anak itu sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kebajikan dan kemanusian serta sering menunjukkan keprihatinannya kepada masyarakat dunia memerlukan bantuan menerusi penglibatannya bersama agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.