Detective Conan: The Scarlet Bullet janjikan keterujaan

A
A
A

ANIMASI kegemaran ramai, Detective Conan kembali dengan aksi lebih mencabar menerusi filem ke-24 untuk francais popular dari negara Jepun itu menerusi edisi terbaharu, Detective Conan: The Scarlet Bullet.

Naskhah adaptasi daripada Manga (komik) popular, Case Close, karya Gosho Aoyama itu masih menampilkan tema utamanya berkenaan jenayah misteri yang kompleks.

Melatari bandar Tokyo, ia mengisahkan tentang kejadian yang berlaku ketika festival sukan terbesar di dunia iaitu WSG atau World Sports Games.

Bersempena giliran mereka menjadi tuan rumah, Tokyo turut mengumumkan projek keretapi Vacuum Superconducting Linear pertama di dunia yang bakal dilancarkan pada tarikh sama dengan upacara pembukaan WSG.

Bagaimanapun satu kejadian aneh berlaku apabila penaja utama festival tersebut diculik secara tiba-tiba.

Bagi mereka yang tidak mengikuti siri-siri terdahulu filem ini, mungkin sukar untuk mengenali latar karakter-karakter yang terlibat, namun ia bukan satu masalah kerana dari sudut penceritaan Detective Conan: The Scarlet Bullet mampu berdiri sendiri.

Setiap babaknya berfungsi dengan sepatutnya, malah menyokong keseluruhan jalan cerita yang berkembang dengan baik dan mudah difahami.

Kejutan dan plot twist yang ditampilkan juga berjaya mewujudkan keterujaan penonton, sekali gus memberi impak pada perjalanan cerita.

Karakter Conan sendiri kali ini tampil lebih baik dan mengujakan dengan teori serta aksi yang cukup sinonim dengan dirinya.

Tidak ketinggalan watak tiga budak nakal iaitu Ayumi Yoshida, Mitsuhiko Tsuburaya dan Genta Kojima yang cukup menghiburkan dengan aksi lucu.

Selain itu, pemilihan tempat untuk filem ini terlihat memukau sehinggakan ilustrasi bandar Tokyo yang moden dan dilengkapi teknologi hebat itu seolah-olah benar wujud.

Secara keseluruhannya Detective Conan: The Scarlet Bullet berbaloi untuk ditonton. Bukan sahaja terhibur dengan babak aksi yang dipaparkan, tetapi juga dengan kejutan dan elemen humornya.

Filem edaran GSC Movies itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 April lalu.

Detective Conan: The Scarlet Bullet

Bahasa: Jepun

Klasifikasi: U

Genre: Anime

Durasi: 1 jam 51 Minit

Tarikh Tayangan: 22 April 2021

Pengarah: Chika Nagaoka

Pelakon Suara: Minami Takayama, Kappei Yamaguchi, Wakana Yamazaki

Bintang: 4/5

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca