DIANIAYA dan kemudiannya terpaksa meringkuk penjara di negara yang cukup asing buatnya pasti menjadi antara kenangan pahit dalam hidup pemain dram Fotograf, Ringgo.

Mengimbau kembali peristiwa yang berlaku pada November 2007 itu, Ringgo atau nama sebenarnya Sham Ahmad, 55, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di Caracas, Venezuela selepas pihak berkuasa menemui dadah jenis kokain seberat hamper satu kilogram dalam bagasi dibawanya.

Namun jelas Ringgo, dia yang ketika itu ke Venezuela bagi menyertai aktiviti himpunan anak seni, telah berkenalan dengan seorang rakan dan ketika dalam perjalanan menuju ke Sepanyol, dia diminta untuk membawa sebuah beg.

“Saya tidak mengesyaki niat tersembunyinya dan ketika mendaftar masuk di lapangan terbang Venezuela untuk ke Sepanyol, saya ditahan anggota keselamatan di sana.

“Ketika pemeriksaan beg dilakukan, mereka menjumpai satu kilogram kokain yang disorokkan di bawah pelapik beg,” jelasnya seperti yang dilaporkan akhbar Mingguan Malaysia.

RINGGO-FOTOGRAF
Kumpulan Fotograf cukup popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta.

Bukan hanya Ringgo yang terkejut dengan penahan itu, bahkan berita itu turut mengejutkan ramai. Apatah lagi jumlah dadah yang dilaporkan dijumpai adalah seberat 4.6 kilogram dan boleh menyebabkan Ringgo dipenjara selama 15 tahun. Tiada hukuman mati bagi pesalah berkaitan dadah.

Menceritakan pengalaman di penjara El-Rodeo II, soal makan minum menjadi ujian yang cukup memeritkan apabila dihidangkan dengan menu mengandungi daging babi dan terpaksa memakan daging kuda.

“Saya hanya makan sardine yang dibekalkan pihak kedutaan. Tetapi bila bekalan habis, saya terpaksa ambil langkah darurat. Daging kuda pun saya makan. Kalau menunya daging babi, saya akan berpuasa. Sarapan pula hanya daging dan telur,” ujarnya.

Tambahnya aktiviti utama bagi banduan di situ adalah bergaduh dan ia dianggap sebagai hiburan. Selepas itu mereka akan berbaik seperti biasa.

Melukis beri kelebihan

Bagaimanapun dek mempunyai kelebihan melukis dan bermain alat muzik, dia dihormati oleh banduan lain.

“Di dalam penjara, saya mendapat gelaran El-Chino yang membawa maksud orang Cina iaitu gelaran bagi orang Asia.

Iklan

“Saya mendapat sumber kewangan RM500 dari keluarga di Malaysia dan duit itu adalah hasil royalti lagu Fotograf. Dengan duit itu, dapatlah bertahan selama tiga bulan dan mampu mengupah banduan lain untuk membasuh pakaian saya,” katanya.

RINGGO-LUKISAN
Antara hasil lukisan Ringgo. (Foto Facebook Ringgo)

Keluarga angkat

Berkongsi detiknya dibebaskan, Ringgo berkata, setelah tiga tahun berada dalam penjara, dia menjadi anak angkat kepada salah seorang keluarga banduan di sana. Langkah itu adalah salah satu syarat untuk  dibebaskan dan melayakkannya memohon parol.

Mana-mana banduan luar perlu mempunyai tempat tinggal di negara berkenaan untuk melayakkan mereka memperoleh parol dan cara terbaik memiliki keluarga angkat.

Iklan

Selepas dibebaskan, Ringgo tinggal di sebuah hostel yang disediakan kerajaan negeri itu dan bekerja menjual lukisan.

Ringgo juga menjadi penghangar barang untuk kedai runcit milik peniaga Arab dan akhirnya bekerja sebagai pembantu peribadi kepada ahli perniagaan Pakistan.

Sudah kembali ke Malaysia, Ringgo kini meneruskan kerja sebagai pelukis di Damansara, Selangor.

Sumber : Mingguan Malaysia / mStar