AKIBAT didakwa melanggar kontrak sebagai duta produk tahun lalu, pelakon Nelydia Senrose disaman syarikat produk kosmetik, Chriszen Malaysia Sdn Bhd.

Chriszen menuntut Nelydia membayar ganti rugi sebanyak RM160,000 setelah gagal memenuhi syarat yang ditetap sebagai duta iaitu membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial, menghadiri dua kali promosi di televisyen dan hadir ke majlis pelancaran produk tersebut pada 25 April tahun lalu.

Difahamkan Chriszen sudah membayar Nelydia sebanyak RM102,000 kira-kira 70 peratus daripada jumlah penuh sebaik pelakon itu bersetuju dengan kontrak syarikatnya sebagai duta.

Semalam, berlangsungnya prosiding perbicaraan hari pertama kes itu yang dijalankan di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perbicaraan akan disambung pada 16 Julai depan.

nelydia dan peguam
Nelydia bersama dua peguamnya iaitu Amirul Izzat (kiri) dan Lim Zi-Han.

Sementara itu, Nelydia, 26, menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Chriszen dalam membuat tuntutan sensasi kepada pihak media.

Menurut pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu, tuntutan kes masih berlangsung dan pihak mahkamah belum dapat mendengar secara penuh dan menentukannya.

Iklan

“Sebagai rekod, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan-dakwaan Chriszen.

“Saya sedang menentang tuntutan ini di dalam mahkamah undang-undang, yang mana merupakan forum betul untuk menentukan pertikaian ini.

Iklan

“Saya akan mempertahankan hak saya untuk membuat tuntutan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di atas komen-komen yang tidak berasas ini,” tulisnya kesal.