Dijangkiti Covid-19, Che Ta akui jadi paranoid

A
A
A

PELAKON Rozita Che Wan mengakui telah dijangkiti Covid-19 pada akhir Februari lalu dan menyebabkan dia menjadi paranoid kini.

Jelas Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, dia kini lebih berhati-hati apabila bertemu dengan orang ramai dan juga ketika berada di lokasi penggambaran.

“Walaupun yang berada di lokasi penggambaran itu memang sudah buat ujian pengesanan Covid-19, saya akan pastikan mereka sering pakai pelitup muka.

“Sekiranya belum tiba giliran dia untuk berlakon ketika itu, saya akan meminta pelakon berkenaan pakai pelitup muka jangan tanggalkan.

“Begitu juga dengan kru, walaupun saya tahu rimas pakai pelitup muka, tetapi bila sudah terkena Covid-19 macam saya, tahulah macam mana rasa paranoid untuk keluar bertemu dengan orang ramai,” jelasnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta kempen Jouls Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.

Tambah figura berusia 49 tahun itu, biarpun perlu kembali bekerja dan perlu menghadiri acara seperti hari ini, Che Ta mengambil langkah berjaya-jaga dengan meminta pereka untuk mencipta busananya yang ‘mesra’ prosedur operasi standard (SOP).

CHE TAChe Ta mengakui busana yang digayakan itu, sengaja direka dengan bahu lebar agak tiada yang mudah merapat untuk bergambar.

Ujarnya, dia bimbang jika ada yang terlupa untuk mempraktikkan penjarakan sosial semata-mata ingin bergambar.

“Macam hari ni, tengok rekaan pada bahu baju saya, ia bukan direka sekadar suka-suka tapi demi mengelak orang berhimpit-himpit dengan saya ketika bergambar. Tetapi ada juga yang himpit,” katanya sambil tertawa kecil.

Berkongsi pengalaman hitamnya dijangkiti Covid-19, ibu kepada tiga cahaya mata itu berdepan dengan kesakitan luar biasa selama 10 hari.

“Pengurus hubungi saya sehari selepas penggambaran dengan Han Byul untuk Mai Cheq Deco dan minta saya buat swab test. Saya terus ke klinik, tetapi keputusannya negatif.

“Bagaimanapun pada sebelah malamnya, saya mula rasa sakit badan dan diikuti simptom lain seperti sakit kepala, cirit birit, muntah, batuk, demam dan selsema. Saya cuma tidak hilang deria bau.

“Sepanjang 10 hari saya memang tak larat bangun, waima untuk melihat handphone.

keluarga che taKELUARGA CHE TA... Che Ta menjalani kuarantin pada 23 Februari lalu bersama dua anak bujangnya.

“Saya positif bersama dua anak lelaki saya, bagaimanapun mungkin mereka masih muda, jadi mereka tidak mengalami apa-apa gejala,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Jouls Luxe Fabrics, Johan Lim berkata, dia dan isterinya, Alia @ Seri Hadia memilih Che Ta sebagai duta kempen untuk memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal di luar sana.

“Daripada 10 peratus hasil jualan, kami akan salurkan kepada ibu tunggal, itu misi kami iaitu untuk bantu mereka bangun dan teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

CHE TA DAN JOHANChe Ta bersama Pengasas Jouls Luxe Fabrics, Johan Lim.

Menurut Alia pula, daripada 13 koleksi dikeluarkan untuk edisi tersebut direka sendiri, merujuk pada personaliti Che Ta.

“Semua rekaan dibuat selepas menyelidik karakter Che Ta. Che Ta ni nampak saja macam seorang diva tapi tidak selepas mengenalinya.

“Dia seorang yang menepati masa selain bekerja dengan bersungguh-sungguh, tu sebab dia wajah yang sesuai mewakili jenama kami bagi kempen sambutan Hari Wanita Sedunia hari ni,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca