ADIK Nur Heliza Helmi, Hazwani, menafikan dirinya adalah wanita ‘misteri’ yang dikaitkan sedang berkawan dengan usahawan serta pelawak terkenal, Shuib.

Hazwani yang ditemui media pada majlis pelancaran filem pertama lakonannya, Road To Heaven, di Pawagam P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengakui terkejut ketika mula-mula terbaca dakwaan berkenaan.

“Saya pun tak tahu macam mana dakwaan macam tu boleh timbul. Saya tahu (mengenai isu itu) pun selepas ada individu yang berkongsi mengenainya melalui Instagram.

“Apabila membacanya, saya memang sangat terkejut, tapi taklah sampai terkesan atau terganggu kerana saya tahu perkara tu tak benar,” jelasnya.

Tambah Hazwani, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mendekati Shuib dan hanya mengenali lelaki itu sebagai teman artis.

“Saya kenallah dia sebagai pelawak, tetapi kami tidak pernah berjumpa apatah lagi berhubung.

“Tak ada terfikir (untuk mengenali Shuib). Saya mahu fokus habiskan belajar je sekarang,” katanya yang kini sedang menyelesaikan pengajian dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.

Shuib dikaitkan dengan ramai wanita sejak pemergian allahyarham isteri, Siti Sarah Raissuddin, pada 9 Ogos tahun lalu.

Bekas penyampai radio itu juga beranggapan dirinya seperti alat mainan Lego kerana cuba ‘dijodohkan’ netizen.

Iklan

Jan lalu, Shuib menafikan mengenali atau mempunyai sebarang hubungan dengan Hazwani.

Cabang dakwah

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam filem Road To Heaven yang mendapat arahan Nizam Zakaria, Hazwani melihat ia sebagai salah satu cabang dakwah.

Mengakui teruja, Hazwani pada masa sama menyatakan sebagai filem pertamanya, timbul perasaan bimbang sekiranya dia gagal memberikan yang terbaik.

Iklan

Bagaimanapun, penglibatan kakaknya sedikit sebanyak membantu untuk meningkatkan semangat.

“Berdebar-debar juga untuk berlakon filem walaupun pernah berlakon drama sebelum ni. Tapi bila ada Kak Ja (Heliza), sedikit sebanyak membantu.

“Walaupun berat, saya anggap ia sebagai satu cabang dakwah. Dulu orang berdakwah melalui tulisan, tapi kini melalui seni pun boleh,” katanya.