TINDAKAN pelakon veteran, Khaty Fauziah berkongsikan gambarnya bersama anak, menantu dan cucu pada Ahad telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan netizen.

Kebanyakannya mempersoalkan bagaimana ibu kepada aktor Shaheizy Sam itu dapat merentas negeri dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Tidak berdiam diri, Khaty memaklumkan, dia datang ke Kuala Lumpur atas urusan pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya sebenarnya tidak payah buktikan apa-apa di sini berkenaan dengan peristiwa semalam yang menjadikan sebahagian daripada anda semua bertelagah sehingga melemparkan berbagai sindiran.

“Saya dan suami yang merentas negeri. Anak-anak semua tinggal di persekitaran daerah yang sama di Selangor. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami juga macam anda, tidak dapat berjumpa.

“Kalau anda memang ikhlas mengikuti perkembangan saya dan keluarga, tentu anda tahu saya baru menjalani prosedur jantung tiga bulan yang lalu.

“Tentulah saya perlu ke IJN untuk buat rawatan susulan. Saya kena bermalam di rumah anak yang ada anak ramai.

Iklan

“Untuk masuk ke rumahnya saya dan suami kena tunggu 15 minit baru dapat masuk setelah diswab dan sebagainya… ikut SOP,” jelasnya.

Khaty memaklumkan dia mengambil kesempatan berjumpa dengan anak cucu yang tinggal di daerah sama selepas beberapa bulan tidak berjumpa.

Tambah Khaty, ketika membuat rawatan jantung tiga bulan lalu, dia tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan anak, menantu dan cucu kerana patuh dengan SOP.

Iklan

“Anda dapat bayangkan tak kalaulah prosuder jantung saya gagal ketika Itu? Saya dan keluarga langsung tidak dapat bersama atau berjumpa.

“Belajarlah menjaga hati dan perasaan orang, belajar berbahasa elok supaya bangsa kita dihormati. Saya dan keluarga juga hanya manusia biasa, kalau ada silap dan salah harap dimaafkan sahaja,” akhirinya.