Ditipu dropship, Siti Sarah buat laporan polis, beri tempoh 48 jam untuk penuhi tiga tuntutan

A
A
A

PENYANYI Siti Sarah memberi tempoh 48 jam kepada seorang individu yang bertindak menipu pelanggannya sejak dua bulan lalu.

Jelas Sarah, tipu helah wanita dalam lingkungan usia 30-an itu terbongkar setelah beberapa pelanggan bertindak menghantar direct message (DM) di Instagram Loveta dan memaklumkan tidak menerima item yang ditempah menerusi individu berkenaan.

“Difahamkan individu ini telah jadi agen dropship kami sejak beberapa bulan lalu. Ketika pertama kali dia tak submit order, kami anggap dia terlupa kerana masih baru atau keliru kerana mungkin dia baru.

“Bagaimanapun kira-kira empat individu menghantar DM ke akaun Instagram Loveta memaklumkan tidak menerima item yang ditempah. Ada antara mangsa ini sudah membuat tempahan sejak bulan puasa lalu. Bila kami periksa, tidak ada apa-apa tempahan yang dibuat individu berkenaan.

“Individu berkenaan memberi pelbagai alasan seperti ia perlu ditempah terlebih dahulu dan sentiasa berdolak-dalik kepada pelanggan kami.

“Jadi kami beri tempoh 48 jam bermula hari ini kepada individu berkenaan untuk tampil menghubungi kami, membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyelesaikan segala masalah yang dibuat,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media pada petang, Khamis.

Tambah Sarah, dia merasa terkilan apabila niatnya untuk membantu dan berkongsi rezeki dengan orang lain dalam tempoh sukar sebegini disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Setiap hari saya menerima pelbagai mesej meminta bantuan, yang beritahu tak ada duit dan sebagainya. Jadi saya ambil inisiatif untuk membantu mereka yang nak ubah hidup, nak jana pendapatan tanpa modal.

“Saya rasa cukup terkilan apabila niat saya untuk membantu dan berkongsi dengan orang di luar sana dalam tempoh sukar sekarang telah disalah guna oleh individu yang tidak bertanggugjawab.

“Malah saya tak pernah terfikir atau terlintas yang orang lain akan gunakan platform saya sebagai tempat untuk menipu (scam).

“Lebih mengecewakan tindakannya secara tidak langsung telah memburukkan nama saya,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.

Sarah tidak dapat menahan sebak apabila usahanya membantu orang disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Isteri kepada Shuib Sepahtu itu memberitahu, sekiranya individu berkenaan tidak memenuhi tuntutannya, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang.

“Semalam, pegawai pemasaran saya buat cover report bagi menjelaskan yang kami tidak ada kena mengena dengan individu berkenaan.

“Jadi selepas 48 jam ini, sekiranya dia tidak memenuhi tuntutan kami, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu itu,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah berkata, dia bersyukur apabila ujian sebegini tidak menjejaskan kesihatan, mahupun kandungannya yang kini memasuki usia tujuh bulan.

Katanya, dia akan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan menambahbaik sistem perniagaannya.

"Tengah hari tadi saya ada berjumpa doktor dan membuat rutin pemeriksaan kehamilan. Alhamdulillah, saya dan baby berada dalam keadaan baik.

“Saya ambil iktibar apa yang berlaku, mungkin susah untuk saya kenal pasti scammer dalam kalangan dropship atau agen saya. Tetapi saya akan tambah baik sistem supaya masalah seperti ini tidak berulang,” akhirinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca