Diumumkan tersingkir, Ajoi Zainal gagal mara ke pentas final Big Stage 2022

AJOI ZAINAL BIG STAGE 2022
AJOI ZAINAL BIG STAGE 2022
A
A
A

PERJALANAN Ajoi Zainal dalam persaingan merebut kejuaraan Big Stage 2022 berakhir apabila diumumkan tersingkir pada konsert separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada malam Ahad.

Persembahan Ajoi atau nama sebenarnya, Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, 24, menerusi lagu Setelah Kau Tiada, nyanyian asal Cakra Khan dan Di Alam Fana Cinta (segmen battle) hanya memperoleh markah sebanyak 76.10 peratus (%) dan berada pada kedudukan tiga terbawah sebelum diumumkan tersingkir.

Biarpun penyanyi kelahiran Indonesia, Tegar Septian mendapat markah paling rendah daripada juri, namun undian peminat membantu menyelamatkan penyanyi itu daripada tersingkir.

Akur dengan keputusan tersebut, Ajoi menyifatkan tiada rezeki untuknya ke pentas final dan tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan itu.

“Mestilah sedih sebab hanya selangkah lagi nak ke final. Banyak benda yang belum sempat saya tunjukkan. Agak kecewa sedikit, tapi saya tak salahkan sesiapa sebab memang hanya sampai sini rezeki saya.

“Apa-apa keputusan pun saya terima kerana kalau ALLAH dah tentukan begitu, itulah rezeki kita. Itu sahaja yang saya fikir selepas diumumkan tersingkir,” ujar Ajoi.

Penyingkiran Ajoi sekali gus menyaksikan kemaraan Daniel Chuer, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Elica Paujin dan Tegar Septian sebagai finalis yang bakal beraksi pada pentas akhir Big Stage 2022 pada  minggu hadapan.

Kesemua peserta yang bertanding pada minggu separuh akhir diadili barisan juri tetap yang terdiri daripada Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, selain Alif Aziz selaku juri juara. Tidak ketinggalan juri pedas serta presiden netizen yang diwakili Adlin Aman Ramli dan Datuk Seri Vida.

Program yang dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104), setiap Ahad, jam 9 malam, bermula 6 Februari lalu.

Markah penuh dan kedudukan peserta

1. Daniel Chuer - 93%

2. Aisha Retno - 87.8%

3. Yazmin Aziz - 79.3%

4. Elica Paujin - 77.4%

5. Ajoi Zainal - 76.10%

6. Tegar Septian - 65.1%

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca