CINTA DJ Lin kepada dunia penyiaran radio tidak pernah berbelah bahagi. Malah selama lebih dua dekad, dia meletakkan seluruh usaha dan kesungguhan dalam kerjayanya sebagai penyampai radio sehingga mencuri perhatian ramai.

Tidak sekadar meniti populariti, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 46, turut menerima pelbagai anugerah yang mengiktiraf dirinya sebagai penyampai radio disegani ramai.

Terbaru, penyampai radio Suria FM yang cukup sinonim dengan slot Suria Cinta pada setiap Ahad hingga Jumaat, jam 8 malam hingga 1 pagi itu dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai menerusi Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2021 yang berlangsung secara virtual baru-baru ini.

Mengakui terkejut dengan pengiktirafan tersebut, DJ Lin, menyifatkan ia sebagai satu kejayaan manis hasil sokongan berterusan daripada peminat dan pendengar setia Suria FM terhadap dirinya.

“Ini adalah momen yang akan saya ingat sampai bila-bila kerana kali pertama memenangi anugerah berdasarkan pilihan pengguna anjuran majalah antarabangsa, Reader’s Digest.

“Semua ini berlaku kerana sokongan peminat dan sangat berterima kasih pada mereka yang sentiasa setia bersama sepanjang 22 tahun saya bergelar penyampai radio,” ujarnya kepada SinarPlus.

DJ Lin yang memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio pada tahun 1999, sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Penyampai Radio Terbaik dan Rancangan Interaktif Radio Terbaik, Anugerah Sri Angkasa (2005, 2010), Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular (2016, 2019, 2020) dan Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara (2012).

DJ Lin memberi sepenuh komitmen pada tugasannya sebagai penyampai radio sejak lebih 22 tahun lalu.

Berkongsi rahsia kejayaannya, DJ Lin yang kini turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Besar Stesen Suria FM sejak lebih tiga tahun lalu itu berkata, segalanya bertitik tolak daripada prinsip untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap kerja dilakukannya.

“Saya hanya menjadi diri sendiri ketika ke udara bersama pendengar. Namun dalam masa sama, saya berpegang kepada pesanan ibu untuk sentiasa menjaga amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya.

“Jadi saya bekerja dengan sepenuh jiwa, malah meletakkan setiap usaha dan kesungguhan pada tahap maksimum. Buat persediaan secukupnya sebelum masuk ke konti dan sentiasa peka pada cita rasa pendengar.

“Alhamdulillah daripada penyampai radio biasa, saya diberikan tanggungjawab lebih besar sebagai Pengurus Suria FM, sekali gus terlibat secara total dalam pengurusan stesen radio yang mematangkan saya dalam dunia penyiaran radio ini,” katanya yang mahu terus berkhidmat di konti radio selagi masih diterima pendengar.

Disayangi peminat

Dalam pada itu, ramai turut memuji cara dan pendekatan DJ Lin memenangi hati pendengar dan peminat dengan menjalinkan hubungan baik dengan mereka secara berterusan.

Iklan

“Dalam hidup ini, kita haruslah ikhlas melakukan sesuatu dan pasti ia akan memberikan hasil yang baik.

“Bagaimana sibukpun saya dengan kerja seharian, saya tetap meluangkan masa membalas mesej peminat di media sosial seboleh yang mampu dan ia jadi rutin sejak sekian lama. Itu cara saya menghargai mereka.

“Paling penting saya tidak meletakkan sempadan antara penyampai dan pendengar, sebaliknya menganggap mereka seperti rakan-rakan yang saling menyokong dalam kehidupan seharian,” akuinya.

Iklan

Melihat kepada jadual hariannya yang sentiasa padat dengan aktiviti dan urusan berkaitan kerja, ramai yang tertanya-tanya bagaimana ibu tunggal yang membesarkan dua anak remaja, Nureen Aresya, 20, dan Nazren Asyran, 18, itu menguruskan kehidupan peribadinya.

“Secara jujurnya saya terpaksa berkorban banyak masa bersama keluarga, terutamanya dengan dua anak sepanjang aktif dalam dunia penyiaran radio.

“Bagaimanapun, tanggungjawab sebagai ibu dan dalam masa sama juga sebagai bapa, saya lakukan dengan sebaik mungkin dengan memastikan semua keperluan mereka dipenuhi terlebih dahulu.

“Tidak mudah dan tentunya pelbagai cabaran yang dilalui sepanjang bergelar ibu tunggal lebih 14 tahun lalu. Apa pun, alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja, apatah lagi mereka sentiasa memahami situasi saya dengan memberikan sokongan penuh sehingga hari ini,” akhirinya.