PENYAMPAI radio Suria FM, DJ Lin telah dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai, di Anugerah Jenama Paling Dipercayai, anjuran majalah antarabangsa Reader’s Digest menerusi undian peminat.

Mengakui terkejut dengan kemenangan tersebut, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, meluahkan rasa syukur dengan anugerah yang diterima dan pencapaian yang dimiliki sehingga kini.

“Anugerah yang diterima ini sangat besar maknanya dalam kamus perjalanan karier seni DJ Lin sebagai seorang Penyampai Radio.

“Tentunya ini merupakan satu penghormatan buat diri DJ Lin sekaligus menyuntik inspirasi untuk lebih tekun dan fokus membawa nama stesen radio Suria FM ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, DJ Lin yang merupakan Pengurus Besar Stesen Suria FM dan penyampai radio yang popular menerusi slot Suria Cinta itu mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pendengar yang menyokong kerjaya seninya selama ini.

“Pengiktirafan yang diberikan itu membuktikan bahawa jenama DJ LIN semakin dipercayai dan kukuh sebagai jenama yang mampu bertahan dalam cabaran masa kini.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur, Reader’s Digest dan juga rakyat Malaysia yang mengundi dan menyokong DJ Lin selama ini,” ujarnya terharu.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-23 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian oleh lebih daripada 8,000 individu yang telah dipilih daripada Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

Lebih daripada 100 jenama tempatan terpilih untuk memenangi lebih daripada 50 kategori yang mewakili pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, produk penjagaan diri, pengendali khidmat penjagaan kesihatan, peralatan elektronik rumah, institusi kewangan, pemaju hartanah dan banyak lagi.

Iklan

Terdahulu kredibiliti dan populariti DJ Lin selama 22 tahun di dalam industri radio di Malaysia diiktiraf menerusi beberapa anugerah besar yang dimenanginya sebelum ini.

Antaranya Anugerah Penyampai Radio Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (tiga kali), Penyampai Radio Paling Popular ABP (tiga kali) dan Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara 2012.

Iklan

Anugerah terbaru sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai itu merupakan anugerah kelapan yang diterima DJ Lin sepanjang bergelar penyampai radio.

Slot kendalian DJ Lin, Suria Cinta ke udara setiap hari Ahad hingga Jumaat, jam jam 8 malam hingga 1 pagi di frekuensi Suria FM atau menerusi aplikasi terbaharu Suria Malaysia.

Ikuti media sosial @djlinsuriacinta dan @suriamalaysia untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai DJ Lin dan Suria FM.