KUMPULAN vokal wanita tempatan yang kian menempa nama, Dolla terus mengorak langkah dalam industri muzik tanah air dengan menghasilkan single demi single sekali gus membuktikan bakat mereka.

Jika pada awal kemunculan lebih setahun lalu, mereka hanya dianggap sebagai penyeri, kini kumpulan yang dianggotai oleh Tabby, Syasya, Angle dan Sabronzo itu ternyata berjaya memberi impak tersendiri kepada peminat muzik tanah air.

Malah Dolla juga baru sahaja selesai menjayakan showcase sulung yang berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC) pada Sabtu lalu.

Mereka menghiburkan peminat dengan lagu Berani, Watch Me Glow, Dolla Make You Wanna dan sebuah single baharu berjudul Bad.

Bercerita tentang single tersebut, Syasya berkata, Bad yang dihasilkan oleh pemuzik Sweden, Ludwig Lindell, Karl-Oskar Cage, Gummesson dan bintang hip hop tempatan; Yonnyboii itu masih mempertaruhkan tema pemerkasaan wanita sebagaimana lagu-lagu mereka sebelum ini.

“Karya ini berkisar tentang seseorang yang telah dikecewakan berkali-kali dan akhirnya tidak mahu lagi menerima kepahitan itu dan memilih untuk menyerlahkan sisi gelap mereka yang berbeza.

“Secara peribadi saya rasa single kali ini menjadi titik perubahan buat Dolla. Sebelum ini kebanyakan karya-karya kami menunjukkan sisi lebih lembut, namun Bad pula mencerminkan Dolla yang sudah matang dan siap untuk menghadapi dunia,” ujarnya.

Dari kiri: Angel, Syasya, Sabronzo dan Tabby terharu dengan sokongan peminat.

Berkongsi tentang pembikinan muzik video lagu itu, Sabronzo menyifatkan ia sebagai satu hasil kerja hebat yang memenuhi cita rasa mereka.

“Walaupun memakan masa selama dua hari untuk disiapkan, ia merupakan satu usaha yang berbaloi buat kami.

“Muzik video ini menampilkan gerakan tari menarik daripada kami dalam usaha menghasilkan visual terbaik. Malah syot-syot yang dimuatkan dalam video ini juga mempamerkan tenaga positif yang terhasil sepanjang penggambaran,” katanya.

Harungi cabaran

Bagaimanapun untuk mendapatkan hasil yang dimahukan, ia tidak diperoleh dengan jalan mudah. Malah banyak usaha dan pengorbanan dilakukan Dolla tanpa kenal erti mengalah.

Iklan

“Kami melakukan banyak sesi latihan untuk mendapatkan keseimbangan vokal dan tarian. Guru vokal terkenal, cikgu Shafi dan Ezra banyak membantu untuk menonjolkan apa yang terbaik daripada kami.

“Jadi apabila melihat hasilnya, kami berasa amat bangga dan berpuas hati. Segala usaha dan kerja keras ternyata berbaloi,” ujar Tabby.

Bersetuju dengan apa yang diperkatakan rakan-rakannya, Angel berharap agar Bad dapat diterima baik sebagaimana single mereka sebelum ini.

Iklan

“Kami sudah menyiapkan single ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, namun baru sekarang ia diperdengarkan kepada peminat.

“Ia ada pesona yang tersendiri dan saya harap semua orang akan menyukai lagu ini,” katanya.

Single Bad berjaya meraih 100 ribu tontonan di YouTube Vevo Dolla dan berjaya menduduki tangga pertama dalam senarai trending dalam tempoh 24 jam tayangan perdananya pada 11 Februari lalu.