PERSEMBAHAN tradisi Dondang Sayang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Tidak hanya dalam kalangan golongan berusia, tetapi juga untuk generasi muda yang semakin terbuka menerima keunikan seni budaya yang berasal dari Melaka itu.

Apatah lagi persembahan menerusi bait-bait pantun Dondang Sayang itu turut tampil dengan pelbagai mesej positif yang disampaikan dalam bentu hiburan.

Melihat kepada kelebihan itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisitif untuk memulakan satu bentuk pertandingan Dondang Sayang Hibrid bagi menyebarkan mesej berkaitan bahaya rasuah dan pembudayaan integriti.

Pertandingan yang akan berlangsung secara dalam talian sepenuhnya itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kanak-Kanak (7 hingga 14 tahun), Remaja (15 hingga 25 tahun) dan Dewasa (26 hingga 40 tahun).

Sebelum memasuki peringkat saringan, para peserta berpeluang mengikuti taklimat beserta Bengkel Dondang Sayang yang dikendalikan oleh urus setia serta panel juri terlibat.

Antaranya ialah Tokoh Warisan Orang Hidup (Dondang Sayang), Tenaga Pengajar Institut Warisan Malaysia Melaka, Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, JKKN Melaka dan SPRM pada 12 Julai ini.

Tema anti rasuah beri kelainan dalam pertandingan Dondang Sayang Hibrid.

Para peserta diberikan masa sehingga 30 Julai ini untuk menyerahkan rakaman video persembahan untuk dinilai. Enam peserta terbaik bagi tiga kategori tersebut akan terpilih ke peringkat seterusnya.

Menariknya, cabaran bagi kategori Remaja dan Dewasa pada peringkat Separuh Akhir akan menyaksikan peserta berbalas pantun secara spontan menerusi lirik Dondang Sayang di aplikasi Zoom.

Iklan

Pertandingan akhir dijangka akan dilaksanakan sama ada secara fizikal atau hibrid mengikut situasi semasa pada 25 September depan.

JKKN dan SPRM berharap mesej antirasuah dapat disebar secara meluas melalui aktiviti kebudayaan supaya penggiat dan peminat seni dapat menghayati serta mengamalkan nilai-nilai integriti dan menolak aktiviti rasuah.

Iklan

Pendekatan tersebut juga dilihat dapat menjadikan seni budaya sebagai medium berkesan dalam mendidik masyarakat memerangi gejala rasuah.

Dondang Sayang sebelum ini telah menerima pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNESCO yang dibuat di bawah ‘Convention for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage 2003’ yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 29 November 2018 di Mauritius.