KEKANGAN  akibat penularan virus Covid-19 tahun lalu memberi idea kepada pengarah prolifik, Michael Ang menghasilkan drama yang berbeza.

Menurut Michael, drama 24 episod ini menyaksikan perjalanan berkisah di sebuah hotel dan dia tidak meniru jalan cerita mana-mana naskhah yang sudah diterbitkan.

“Perbincangan untuk menerbitkan naskhah The Hotel dibuat ketika drama Angkara Cinta untuk slot Tiara Astro Prima masih lagi dalam proses pembikinan. Kebetulan jadual penggambaran tergendala akibat perlaksanaan PKP.

“Kekangan yang dihadapi sewaktu PKP akibat pandemik mencetuskan idea untuk membuat cerita yang hanya berkisar dalam sebuah hotel sahaja.

“Selalunya, ramai kalangan yang kaya tinggal di hotel. Idea asal tersebut kemudiannya diolah dan dikembangkan untuk memberi kelainan yang menghiburkan.

“Ramai orang berpendapat bahawa drama ini meniru konsep K-drama Hotel De Luna dan Penthouse namun andaian tersebut tidak benar sama sekali kerana naratif penceritaan The Hotel amat berbeza kerana ia digarap berdasarkan situasi sewaktu kita berhadapan dengan PKP.

Iklan

Genre yang diketengahkan menerusi drama ini merupakan ‘testing ground’ buat kami untuk melihat sejauh mana keterbukaan masyarakat dalam menerima konsep sebegini bagi drama Melayu,” jelasnya.

Iklan

Drama yang mengangkat isu kesihatan mental ini diarahkan Helmi Yusof dan turut diserikan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Mira Filzah, MK K-Clique, Sean Lee, Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Farah Ahmad, Daler Yusof, Alif Hadi serta ramai lagi.

The Hotel ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.