PENYANYI yang berasal dari Sabah, Elica Paujin diumumkan sebagai juara Big Stage 2022 yang  berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Kemenangan itu menyaksikan Elica membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi.

Pesaing terdekatnya, Daniel Chuer berada di tempat kedua menerima hadiah berupa hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi. Manakala tempat ketiga menjadi milik Aisha Retno dan menerima hadiah wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Tempat keempat menjadi milik penyanyi Yazmin Aziz manakala  Tegar Septian hanya mampu berpuas hati menduduki tempat kelima. Masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM10,000.

Persembahan para finalis dinilai oleh juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai, bersama juri juara, Aliff Aziz. Manakala Aina Abdul kembali sebagai juri jemputan dan Elly Mazlein sebagai juri pedas, di samping Datuk Seri Vida selaku presiden netizen.

Iklan

Konsert akhir Big Stage 2022 yang dihoskan Alif Satar dan Sherry AlHadad dan dimeriahkan dengan persembahan penutup oleh Siti dan Aina.

Iklan

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama pada 2018. Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).