PELAKON Nafiz Muaz, 22, selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihan hatinya, Diyana Omar, 29, kira-kira jam 11.33 pagi tadi.

Menerusi majlis pernikahan yang diadakan di sebuah hotel itu, pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Omar Ahmad sambil disaksikan kira-kira 100 tetamu.

Jejaka kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menyerahkan wang hantaran RM30,000, mas kahwin RM1,001 dan lima dulang berbalas tujuh dulang daripada pengantin perempuan.

Berkongsi mengenai majlis pernikahannya itu, Nafiz berkata, perancangan untuk melangsungkan perkahwinan sudah dua kali tertangguh akibat Covid-19.

“Selepas beberapa kali tertangguh, akhirnya kami sepakat untuk disatukan hari ini.

“Biarpun berlangsung dalam suasana norma baharu dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kami akur dengan ujian melanda dunia sekarang,” jelasnya.

Majlis pernikahan diadakan mengikut rutin normal baharu. (Foto : Nafiz Muaz)

Ditanya mengenai isterinya itu, Nafiz berkata, Diyana sangat memahaminya dan terbuka dalam banyak perkara.

Iklan

“Saya selesa dengannya kerana dia memahami saya. Kami terbuka dalam banyak perkara,” katanya.

Nafiz atau nama penuh, Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir memberitahu, majlis resepsi akan diadakan pada 21 Januari depan. Ini disusuli majlis bertandang di Sungai Petani, Kedah, bulan depan.

Iklan

Pelakon yang digilap bakat melalui Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 itu pernah membintangi beberapa drama popular seperti Semua Salahku, Hilang Yang Kembali dan Cinta Belum Tamat Tempoh.

Sumber : Berita Harian