Duan Nago Bogho satukan aksi, seni budaya

A
A
A

LARI seketika daripada naskhah-naskhah komersial yang sering dilambakkan di pawagam, Kalamariff Holdings Sdn Bhd membawakan sesuatu yang berbeza menerusi filem Duan Nago Bogho yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 19 Januari ini.

Pengarahnya, Sabri Yunus yang sememangnya terkenal dengan karya-karya yang mengangkat tentang sosio budaya masyarakat Kelantan, sekali lagi tampil dengan elemen tersebut untuk buah tangan terbaharunya ini.

Filem yang sebahagian besarnya menggunakan dialek Kelantan itu mengetengahkan elemen kesenian Mak Yong yang cukup tersohor di negeri Pantai Timur itu menerusi sebuah naskhah aksi.

Duan Nago Bogho mengangkat kisah seorang anak seni tradisional Mak Yong iaitu Duan yang mempunyai dua personaliti. Dia seorang yang mencintai kesenian tradisional, tetapi dalam masa sama pantang dicabar dan suka bergaduh.

Kisahnya bermula selepas Duan bergaduh dengan penonton yang mengganggu sewaktu dia sedang membuat persembahan Mak Yong. Selepas kejadian itu, Duan menerima pelawaan rakan baiknya, Awi yang tinggal di Kuala Lumpur untuk ke ibu kota.

Namun, penghijrahannya ke Kuala Lumpur mencetuskan pelbagai konflik. Terutama selepas terbabit dengan masalah dihadapi Nancy, anak kepada Jimmy Ang iaitu seorang lelaki cina keturunan Kelantan.

Karya ini sememangnya mempunyai jalan cerita yang cukup menarik, selain kekuatan skrip ditampilkan dalam menggerakkan cerita. Ia berjaya menggabungkan elemen aksi, seni budaya dan nilai komersial dengan baik sekali.

Walaupun latar filem ini adalah mengenai kehidupan orang Kelantan, tetapi isu, mesej dan jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini sebenarnya berlaku di mana-mana sahaja dan sangat dekat masyarakat.

Malah pertembungan ideologi dalam menilai kesenian, persahabatan dan pembelotan juga digarap dengan baik oleh Sabri, sekali gus menjadikan Duan Nago Bogho naskhah yang istimewa.

Mungkin ada yang melihat pergaduhan sebagai elemen gangsterism, namun Sabri menerusi karya ini melihat daripada perspektif berbeza.

Watak utamanya yang digambarkan suka bergaduh dalam filem ini bukan kerana dia seorang yang jahat, tetapi disebabkan perjuangannya dalam mempertahankan maruah dan seni yang ada dalam diri.

Elemen tersebut menarik untuk diketengahkan supaya penonton jelas tentang budaya, sifat dan pemikiran sesebuah masyarakat.

Sebenarnya dalam ralit menonton, banyak kritikan sosial yang sampai kepada penonton. Baik menerusi karakter yang ditonjolkan, mahupun dialog-dialog santai namun dalam maksudnya.

Difahamkan Nago Bogho itu bermaksud ular tedung selar, yang sebenarnya merupakan gambaran sifat watak utamanya, Duan yang dilakonkan oleh Asrulfaizal dengan cemerlang. Dia memberi jiwa dalam lakonan, malah berjaya meyakinkan penonton untuk percaya dengan watak Duan yang dibawanya.

Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang turut mengisi peranan mereka dengan baik, sekali gus menyokong penceritaan Duan Nago Bogho.

Secara keseluruhannya, Duan Nago Bogho adalah sebuah naskhah yang sangat berbaloi untuk tontonan.

Duan Nago Bogho

Bahasa: Melayu

Klasifikasi: P13

Genre: Drama

Durasi: 1 jam 58 minit

Pengarah: Sabri Yunus

Pelakon: Asrul Faizal, Jojo Goh, Sabri Yunus, Rosyam Nor, Sangeeta Krishnasamy, Dr Lim Swee Tin

Penerbit: Kalamariff Holdings Sdn Bhd

Tarikh Tayangan: 19 Januari 2023

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca