CANTIK, berkebolehan, pandai memasak dan berhati mulia. Itu kesimpulan yang penulis boleh katakan mengenai wanita yang bernama Zara Zya.

Masakan tidak, bukan hanya menumpahkan sepenuh bakatnya dalam bidang lakonan, malah pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin dilihat tidak lokek dan ringan tulang membantu golongan yang memerlukan.

Berpegang kepada kata-kata dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain, pelakon bertubuh genit itu mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Malaysia Prihatin sejak April lalu.

Kata Zara, semenjak dilancarkan, NGO kelolaannya semakin dikenali. Impaknya, sungguh mengujakan. Beliau berpeluang mengagihkan bantuan kepada beberapa buah keluarga dan rumah kebajikan.

“Tidak dinafikan, pada peringkat awal ketika saya kongsikan mengenai laman web Malaysia Prihatin, ramai yang fikir saya ada kerjasama dengan kerajaan. Sebetulnya ketika saya membeli domain www.malaysiaprihatin.com, secara kebetulan negara kita menyambut Hari Kebangsaan dengan tema Malaysia Prihatin. Namun, ingin saya tegaskan, NGO saya tidak ada kena mengena dengan kerajaan.

“Apa-apa pun, alhamdulillah, ramai yang memberi sumbangan dan dana untuk kami membantu lebih ramai orang yang tidak berkemampuan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama Mr Bibik baru-baru ini meneruskan bicaranya.

Masih lagi berkongsi mengenai Malaysia Prihatin, selebriti jelita yang baru menginjak usia 36 tahun itu berkata, misi bantuan tersebut sesungguhnya, telah membuka matanya mengenai kesusahan yang dihadapi oleh segelintir rakyat Malaysia pada hari ini.

“Dulu bila lihat orang beri bantuan, saya terfikir ada ke orang yang betul-betul susah sehingga tinggal di pondok? Namun, bila sudah turun padang, baru saya sedar.

“Insya-ALLAH akan lebih banyak lagi misi bantuan yang akan dibuat selepas ini. Saya juga berharap laman web itu akan lebih dikenali ramai selepas ini,” jelasnya.

Misi 2022

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan perniagaan restorannya di Setia Alam, Selangor, aktres yang mula melonjak menerusi drama Love You Mr. Arrogant itu memaklumkan, perniagaan tersebut tidak akan ditutup buat selamanya.

Sebaliknya, beliau kini sedang rancak mengatur langkah dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk beroperasi semula.

“Saya buka restoran ini pun ketika zaman pandemik. Disebabkan ada ketikanya boleh beroperasi, ada ketikanya perlu ditutup, saya tidak dapat menampung bebanan kos ketika itu.

“Natijahnya, premis saya hanya dapat bertahan selama lapan bulan sahaja. Jika tiada aral melintang, kami akan menemui pelanggan sekali lagi pada tahun depan,” katanya.

Seperti biasa, tidak sah jika Zara tidak diusik tentang hal peribadi. Ditanya bilakah akan menamatkan zaman bujang, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu tidak terus melatah.

Iklan

Sambil mengukir senyuman paling manis, tutur Zara, sebagai seorang wanita, beliau juga mempunyai naluri untuk bergelar isteri, namun jodohnya belum tiba.

“Saya tahu, selagi belum berkahwin, ramai yang nak tahu saya berkawan dengan siapa? Bila akan berkahwin? Seperti yang saya katakan tadi, jodoh saya belum tiba. Saya pun tidaklah terlalu memilih atau ada kriteria tertentu yang ditetapkan, cukuplah lelaki itu bekerjaya, mampu menjaga saya sehingga tua dan boleh membimbing saya di dunia dan akhirat.

“Apa yang boleh saya katakan, bila tiba masanya, saya akan kongsikan berita gembira itu dengan semua,” jelasnya yang menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa.

Masih relevan

Kepada peminat slot Akasia yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pasti akan melihat wajah Zara menerusi lakonan terbaharunya dalam siri Mr Bibik.

Selain disiarkan melalui saluran TV3, drama menarik berkenaan turut ke udara menerusi perkhidmatan penstriman, iQIYI pada jam 8 malam pada hari yang sama.

Iklan

Bercakap tentang dunia lakonan, Zara kelihatan teruja. Ujarnya dengan nada gembira, tawaran membintangi beberapa drama masih lagi diperoleh.

“Ada di antaranya, saya diberi watak utama. Syukur alhamdulillah, saya tetap diterima baik oleh stesen televisyen dan penerbit. Mungkin disebabkan badan yang kecil, maka saya kekal relevan untuk membawakan watak utama.

“Drama Mr. Bibik ini juga misalnya, akan membuatkan penonton mengingati kewujudan saya semula selepas lama tidak berlakon akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Insya-ALLAH, selagi diperlukan, saya akan terus berlakon sebab di Malaysia, jangka hayat pelakon sebagai watak utama memang tidak lama,” ujarnya mengakhiri perbualan.