Dulu saya cepat putus asa bila lagu tak main kat radio - Ayu Damit

Ayu Damit
Ayu Damit
A
A
A

MENGAKUI penyertaannya dalam program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada tahun lalu sebagai platform terbaik untuk kembali memeriahkan dunia seni, penyanyi Ayu Damit mula merencana pelbagai perancangan untuk tujuan itu.

Meskipun menduduki tempat ketiga dalam program tersebut, Ayu atau nama penuhnya Norayu Damit, 32, menganggap pengalaman yang diperoleh sepanjang GV7 itu lebih bermakna daripada segala-galanya.

Jika sebelum ini, anak kelahiran Sabah itu dilihat tidak konsisten dalam kerjaya seninya, Ayu kini merangka misi baharu untuk memastikan kesilapan sama tidak berulang.

Sebagai permulaan, Ayu bakal tampil dengan single terbaharunya berjudul Permata, ciptaan Mohd Atlas bersama Zimi Sofazr.

Lagu balada yang diterbitkan oleh syarikat Saudagar Seni itu dirakam di Pro Studio, Cheras, Selangor ketika sibuk berjuang dalam GV7.

“Datuk Gulzar (Mohd Atlas) hasilkan melodi dan lirik dalam tempoh satu malam dan pada malam itu juga kami terus sesuaikan melodi serta lirik sehingga ke pagi.

“Saya tertarik bila tengok liriknya yang banyak maksud tersirat, apatah lagi lagu ini khas untuk pasangan suami isteri,” katanya.

Menurut Ayu kali terakhir dia tampil dengan single ialah pada 2016 menyebabkan dia sedikit gementar ketika berada di studio rakaman.

“Saya tak kekok sangat, cuma bimbang tentang pengawalan suara dalam studio. Itu saja.

“Sebenarnya untung juga, rakaman dibuat sewaktu saya masih menyertai GV7 kerana ketika itu suara sudah biasa digunakan untuk nada tinggi atau rendah.

“Kalau ikutkan, lepas rakaman lagu terus nak buat video muzik. Dah siap rancang semua, tapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tangguhkan dulu,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Ayu, sebelum tampil dengan video muzik rasmi nanti, peminat boleh menikmati video lirik terlebih dahulu.

Kongsi Ayu lagi, dia sudah merancang jalan cerita untuk video muzik tersebut, selain menampilkan dua orang model untuk menghidupkan jalan ceritanya.

“Kalau saya yang berlakon video muzik, nanti kaku jadinya. Jadi biarlah saya menyanyi saja dan bagi orang lain berlakon.

“Bermula 29 Januari lalu, video lirik Permata dapat ditonton di YouTube Saudagar Seni Media,” katanya.

Berkongsi harapannya pada single Permata, Ayu mahu lagu itu dapat mengingatkan orang ramai tentang kehadirannya dalam bidang seni suara.

“Bila dah masuk GV7, itu adalah pentas untuk saya tampil semula dalam industri bila orang dah lama tak tengok.

“Selepas GV7 berakhir, saya terus keluarkan produk dan itu satu promosi yang bagus. Sekurang-kurangnya, peminat tidak akan melupakan kita.

“Saya harap ia berkekalan dan akan teruskan perjuangan dalam bidang seni. Dulu saya cepat putus ada apabila buat lagu tapi tak mainpun kat radio.

“Sekarang lain kerana peminat pun dah nampak kehadiran semula saya. Jadi kena teruskan perjuangan dan tak boleh putus asa seperti dulu,” katanya.

(FOTO: Saudagar Seni Media)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca