SIAPA sangka, bermula sebagai penonton di Istana Budaya, kini penyanyi yang semakin popular, Aina Abdul berpeluang membuat persembahan di pentas berprestij itu.

Menurut Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani, sejak di bangku sekolah lagi, beliau sering mengikuti persembahan konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Justeru, tawaran untuk terlibat dengan Konsert Patriotik Tanah Airku yang bakal berlangsung 6 November depan amat sukar ditolak.

“Sejujurnya saya sangat gemuruh, tetapi pada masa sama begitu teruja. Tak sangka dulu saya hanya menyaksikan konsert dari kerusi penonton, tetapi kini saya pula yang menghiburkan penonton.

“Saya juga gementar sebab sudah lama tidak buat persembahan berskala besar yang melibatkan penonton. Apa pun saya akan cuba berikan yang terbaik pada konsert ini nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya pada Khamis lalu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Zaifri Husin dan penyanyi, Fitri Hiswady.

Aina menjanjikan persembahan istimewa pada malam konsert nanti.

Konsert tersebut sebenarnya dijadualkan berlangsung pada Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan, tetapi terpaksa ditunda disebabkan penangan wabak Covid-19.

Selain Aina, konsert yang diserikan dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan akan disertai Syamel, Ernie Zakri, Fitri Hiswady dan Hairi Safwan serta pendeklamasi puisi, Ahmad Shukri Abdullah.

Tambah Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-35 itu, biarpun pada asasnya konsert tersebut berorientasikan patriotik, namun ia sudah dimodenkan dan bersesuaian untuk tontonan generasi muda.

Selain tampil dengan lagu bersifat patriot, Aina juga akan menyampaikan beberapa buah lagu sendiri yang berkaitan kebangkitan dan perjuangannya dalam kehidupan.

“Pat Ibrahim selaku pengarah konsert ini akan sesuaikannya (konsert) dengan cita rasa anak muda.

“Bukan hanya menyanyi, terdapat beberapa slot berbeza yang bakal mewarnai persembahan hebat itu nanti,” jelasnya.

Kepuasan sendiri

Diusik dengan soalan sama ada dirinya akan tampil membuat persembahan bersama mikrofon baharunya, anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu tidak menafikannya.

Mikrofon berharga puluhan ribu ini dibeli Aina sebagai motivasi dalam bekerja.

Jelas Aina, beliau tidak sesekali berniat untuk menayangkan alatan penting itu, namun tidak malu untuk mengakui sudah menabung selama tiga tahun sebelum membelinya.

“Saya lihat penyanyi antarabangsa, Taylor Swift memiliki mikrofon yang boleh ditukar-tukar mengikut warna bajunya. Penyanyi tempatan pun ramai yang ada mikrofon sendiri seperti Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

Iklan

“Jadi, atas sebab itu, saya simpan impian untuk beli mikrofon sendiri, walaupun perlu menabung selama bertahun-tahun. Bukan untuk menunjuk, tetapi sebagai pembakar semangat kepada saya untuk membuat persembahan yang terbaik,” katanya.

Berkongsi perjalanan kariernya selepas ini, penyanyi yang mula meledak dengan lagu Sumpah itu merancang untuk tampil dengan sebuah single berbahasa Inggeris sebelum penghujung tahun ini.

“Saya tahu, saya pernah berkata tidak akan tampil dengan single baharu lagi tahun ini selepas melancarkan lagu Semalam.“Bagaimanapun, saya rasa ada sesuatu yang kurang dan saya masih lagi aktif berkarya, menulis lagu baharu hingga ke hari ini.

“Setakat ini saya tidak berjanji apa-apa kepada peminat, tetapi hati saya kuat mengatakan saya akan tampil dengan sebuah single baharu dalam bahasa Inggeris,” ujarnya yang mahu terus menghasilkan naskhah-naskhah yang bermutu.

Amal gaya hidup sihat

Iklan

Sementara itu, ditanya mengenai perubahan bentuk badannya yang semakin langsing, Aina mengakui mula mengamalkan gaya hidup yang lebih berkualiti sejak bulan Mei lalu.

Aina mula mengamalkan gaya hidup sihat sejak lima bulan lalu dan sudah kehilangan 7kg berat badan.

Ujarnya, dalam tempoh berkenaan, beliau sudah kehilangan kira-kira 7 kilogram (kg) dan berhasrat menurunkan beberapa kilo lagi untuk mendapatkan berat badan ideal iaitu 52kg.

“Saya turunkan berat badan bukan sebab netizen. Saya buat untuk diri saya sendiri. Sebagai penyanyi, saya perlukan stamina yang tinggi ketika beraksi.

“Namun demikian, saya tetap berterima kasih kepada netizen yang memberi teguran atau kritikan kerana kalau kita hanya dipuji, kita akan sentiasa selesa.

“Apa-apapun saya gembira dengan rutin kehidupan saya sekarang dan berharap dapat mencapai berat badan yang disasarkan,” akhirinya.