LEBIH dua dekad membina nama dan pengaruh dalam industri seni tanah air, pelakon Eira Syazira akui bertuah disuakan pelbagai peluang mengembangkan bakat dimiliki ke tahap di mana dirinya berdiri hari ini.

Seiring kematangan dalam diri, pemilik nama sebenar Syazira Shuhaimi itu enggan terus berada dalam zon selesa tanpa cabaran baharu untuk menguji kemampuan dirinya.

Justeru, Eira yang mula menceburi bidang seni sebagai seorang pelakon itu mahu lebih serius merencana kerjayanya dalam bidang nyanyian yang semakin diterima di Indonesia sejak lebih enam tahun lalu.

Biarpun perancangan seni beliau di negara seberang itu tertangguh hampir tiga tahun akibat pandemik Covid-19, selebriti kelahiran Kuala Lumpur itu percaya ada hikmah yang sedang menanti.

“Alhamdulillah selepas kerajaan kembali membuka sempadan negara bermula 1 April lalu, saya dapat merencana semula kerjaya seni yang tertangguh di Indonesia.

“Bukan tidak mahu terus berkarya dalam industri tanah air, tetapi saya mahu mencabar diri melakukan sesuatu yang berbeza dan kebetulannya ditawarkan oleh industri seni di sana iaitu sebagai penyanyi.

“Diam tak diam, sudah enam tahun saya bergelar penyanyi di sana dengan menghasilkan beberapa single termasuk Say, Kau Yang Ku Sayang dan lain-lain,” katanya.

Bernaung di bawah syarikat pengurusan Positive Arts Entertainment yang turut menguruskan beberapa artis popular Indonesia seperti Wali Band, Keris Patih dan Ayu Tinting, kerjaya Eira sebagai penyanyi semakin menyerlah dan mendapat banyak pendedahan.

“Saya bernasib baik kerana bekerja dengan pasukan yang bagus dan sentiasa melihat potensi dalam diri saya meskipun ada kala saya sendiri tidak percaya dengan kemampuan dimiliki.

“Kalau diikutkan, sebelum berlakunya pandemik saya sepatutnya terlibat dengan siri persembahan jelajah di beberapa daerah di Indonesia bagi mempromosikan single Kau Yang Ku Sayang, namun tidak menjadi kenyataan disebakan pandemik.

“Jadi setelah keadaan kembali reda dan sempadan negara juga sudah dibuka, saya dan pihak pengurusan akan meneruskan segala perancangan serta aktiviti seni yang tertangguh sebelum ini,” katanya.

Ramadan istimewa

Tambah Eira, sepanjang Ramadan ini, beliau akan berulang-alik ke Indonesia sementara menunggu perancangan menetap di negara tersebut menjadi kenyataan.

“Jika semua berjalan lancar saya akan berangkat ke Indonesia dalam masa terdekat setelah pulang bercuti di Malaysia pada penghujung tahun 2019.

“Insya-ALLAH saya akan menyambut Ramadan di sana yang tentunya memberi rasa berbeza selepas kita semua kini menjalani kehidupan dalam situasi norma baharu.

Iklan

“Rindu nak raikan Ramadan seperti dulu-dulu, tetapi inilah aturan yang telah ditetapkan ALLAH SWT dan kita perlu akur untuk jalaninya dengan sebaik mungkin,” katanya yang sudahpun membeli rumah di Indonesia.

Eira bahagia bersama suami dan anak-anak yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Azad Jazmin dan ibu kepada tiga cahaya mata itu menitipkan ucapan terima kasih kepada suami atas restu dan sokongan yang diberikan terhadap kerjaya seni beliau selama ini.

“Sejak dulu suami sentiasa menjadi tulang belakang saya. Dia bagi restu dan sokongan, malah sentiasa mahu melihat saya berada di depan terutamanya ketika mula membina kerjaya di Indonesia.

“Saya percaya apa yang diperoleh sekarang ini adalah berkat daripada restu dan doa beliau pada saya. Saya sentiasa pegang perkara itu,” akuinya.

Dalam perkembangan lain, Eira turut mengubati rindu peminat apabila tampil dengan drama baharu lakonannya, Hud yang bakal bersiaran di Awesome TV pada Ramadan ini.

Iklan

“Memang dah lama saya tiada drama baharu kerana fokus kepada kerjaya nyanyian di Indonesia. Jadi apabila pulang ke Malaysia, saya banyak dapat tawaran.

“Bagaimanapun saya akui sangat selektif kerana mahu mencari watak mencabar dan mampu memberi kelainan. Saya mahu sesuatu yang berbaloi buat peminat yang lama menunggu.

“Drama Hud menyajikan sesuatu yang berbeza dan saya buat comeback dengan naskhah itu setelah lebih enam tahun tidak terlibat dengan dunia lakonan,” katanya.

FOTO: AZRUL RAFIE (AWESOME TV)