“Saya tak ambil hati, walau pun gagal di Sabak Bernam,” kata Datuk Seri Eizlan Yusof berhubung kegagalannya bergelar Ahli Parlimen P.092 Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada Sabtu.

Eizlan, 51, mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Pejuang tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan yang meraih 17,973 undi sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada pemilihan itu Eizlan hanya meraih 460 undi.

“Warga Sabak Bernam sudah pun membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

“Saya sudah berusaha dengan kapasiti yang ada dan sangat menghormati keputusan dibuat mereka,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada warga Sabak Bernam atas layanan yang cukup sempurna, selesa dan harmoni walau pun berbeza parti politik dan pendapat selama dua minggu ‘berkampung’ di sini.

Eizlan sempat beramah mesra dengan beberapa penduduk di Sabak Bernam ketika hari pengundian pada Sabtu.

Eizlan turut menitipkan pesan kepada wakil rakyat yang telah dipilih agar jangan sia-siakan kepercayaan diberikan mereka kerana ini adalah peluang untuk mereka bekerja untuk rakyat, bukan sebaliknya.

“Saya dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh penduduk terutamanya pengundi-pengundi di Sabak Bernam.

Iklan

“Walaupun tidak banyak yang saya capai, tapi cukup untuk saya menyatakan kegembiraan sepanjang kempen PRU15, dapat bertemu dan berkenalan dengan pelbagai lapisan masyarakat di Sabak Bernam. Saya gembira menjadi salah seorang peserta dalam sistem demokrasi Malaysia yang semakin subur.

“Ada yang mengundi saya, ramai yang tidak mengundi saya, tapi perkenalan dengan penduduk-penduduk Sabak Bernam, kehadiran saya disambut dan diraikan oleh anda semua, merupakan suatu pengalaman serta kenangan yang tidak akan dilupakan.

Iklan

“Anda telah memilih dalam sistem demokrasi. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua.

“Tahniah untuk YB Cikgu Kalam. Selamat bertugas untuk rakyat Sabak Bernam,” ujarnya.