FILEM pendek Ejen Ali Misi: Juang memenangi anugerah Animasi 3D Terbaik di ContentAsia Awards 2021.

Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Primeworks Studios dan WAU Animation menerusi sosial media pada petang Jumaat.

Ejen Ali Misi: Juang hasil kolaborasi Primeworks Studios dan WAU Animation yang dilancarkan pada 25 Disember tahun lalu, merupakan tanda penghargaan Ejen Ali kepada petugas barisan hadapan yang memberikan sumbangan tanpa batas untuk menentang wabak Covid-19.

Dimuat naik di saluran YouTube rasmi Ejen Ali, video berdurasi 3:21 minit itu meraih lebih 16.8 juta tontonan semenjak ia ditayangkan.

Antara babak di dalam Ejen Ali Misi : Juang.

Ejen Ali Misi: Juang menampilkan usaha Ejen MATA dan rakyat yang bergabung bersama-sama petugas barisan hadapan di medan perang untuk melawan angkatan tentera Covid-19 yang mengancam nyawa.

Iklan

Dengan lagu tema Kita Jaga Kita, filem pendek ini turut mengetengahkan penampilan khas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang membawa watak cameo untuk bergabung tenaga dengan Ejen MATA di medan pertempuran.

Iklan

ContentAsia Awards merupakan sebuah majlis anugerah yang mengiktiraf kandungan terbaik serata Asia, termasuklah Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.