SIRI animasi kegemaran ramai, Ejen Ali bakal kembali dengan musim ketiga tidak lama lagi. Lebih menarik, produksi Primeworks Studios dan WAU Animation mengumumkan usahasama penerbitan siri tersebut bersama dengan platform striming terbesar di dunia, Disney+ Hotstar.

Usahasama tersebut merupakan penanda aras dan pencapaian membanggakan untuk industri animasi Malaysia kerana Ejen Ali merupakan harta intelek animasi Malaysia pertama terpilih untuk kerjasama dengan produksi Disney+ Hotstar.

Siri animasi itu dijangka akan ditayangkan pada tahun 2022 di empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Menerusi Ejen Ali Musim 3, Ejen Ali dan rakan-rakannya Ejen muda dari Akademi MATA disatukan semula dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA.

Latar belakang cerita dan plot musim baharu itu berlangsung selepas peristiwa dalam Ejen Ali The Movie, yang telah mencipta sejarah dengan meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM30 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Iklan

Rentetan kejayaan itu, WAU Animation terus menjanjikan kualiti produksi animasi terbaik dan bakal menyajikan penceritaan lebih padat dengan aksi serta komedi menghiburkan.

Bukan itu sahaja, pelbagai watak baharu bakal diperkenalkan dengan personaliti menarik dan setara dengan cita rasa para penonton antarabangsa yang lebih meluas di platform striming Disney+ Hotstar.

Iklan

Layari saluran YouTube rasmi Ejen Ali, wwww.youtube.com/ejenali untuk menonton treler awal Ejen Ali Musim 3. Dalam pada itu, Ejen Ali Misi: Juang, Ejen Ali The Movie dan Ejen Ali musim 1 dan 2, kini boleh di strim di Disney+ Hotstar.