MA Dong-seok atau lebih dikenali dengan nama Don Lee, merupakan salah seorang pelakon popular di Korea Selatan.

Mula menyertai industri seni pada 2005, namun namanya mula meledak tatkala membintangi filem box-office, Train to Busan pada tahun 2016.

Terbaharu, aktor berusia 50 tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi bintang pertama dari Korea yang menyertai Disney atau lebih tepat, Marvel Cinematic Universe (MCU) menerusi filem Marvel Studios’ Eternals arahan Chloé Zhao yang sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 4 November lalu.

SinarPlus berkesempatan menemu bual Don Lee secara maya baru-baru ini untuk mengetahui pengalamannya bekerja dengan produksi luar negara, selain gandingannya dengan nama besar seperti Angelina Jolie.

 

Adakah watak Gilgamesh mempunyai persamaan dengan anda secara realiti?

Don Lee : Apabila Marvel Studio dan Chloé membina karakter Gilgamesh sejak awal lagi, mereka melihat hasil kerja dan mengenali siapa saya.

Mereka cuba untuk hasilkan karakter Gilgamesh sebagai versi saya yang berlainan dan saya dapat melihat kesungguhan mereka dalam membentuk watak itu.

Chloé juga memastikan saya dapat mendalami watak Gilgamesh supaya dapat membawakan semula watak itu dengan baik di skrin.

Jadi saya berasa seperti menjadi diri sendiri dan ia membuatkan saya berasa selesa.

Don Lee berpeluang bergandingan dengan nama besar seperti Angelina Jolie, Salma Hayek dan ramai lagi.

Membawa watak sebagai lelaki yang mempunyai kekuatan luar biasa, apa cabaran untuk menjayakan watak Gilgamesh?

Don Lee : Gilgamesh adalah sebuah watak yang kuat dan tentunya saya juga terlibat dengan beberapa babak aksi. Jadi saya perlu pastikan penampilan saya bersesuaian dengan Gilgamesh.

Bagaimanapun saya tidak berdepan dengan cabaran besar dari segi fizikal atau latihan untuk mengharungi babak aksi kerana saya menjalani rutin fizikal sejak muda lagi, iaitu sebelum saya menjadi artis.

Saya aktif dalam sukan tinju dan kerap bersenam. Cuma cabarannya adalah untuk berlakon dan berdialog dalam bahasa Inggeris.

Bercakap dan berlakon menggunakan bahasa Inggeris adalah dua situasi yang berbeza. Setiap kali selesai penggambaran, saya akan fikir skrip untuk babak seterusnya.

Saya juga sentiasa berbincang dengan Chloé dan bertanya apa yang dimahukan.

Iklan

 

Boleh kongsikan pengalaman berlakon di samping Angelina Jolie?

Don Lee : Saya meminati Angelina Jolie sejak sekian lama. Apabila saya dapat tahu bakal berlakon dan bergandingan dengannya, sangat mengujakan.

Kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk berlatih bersama tetapi sebaik memasuki set dan memulakan dialog, keserasian itu datang dengan sendirinya dan Angie (Angelina) juga banyak membantu ketika penggambaran.

Saya rasa seperti kami ada pertalian kerana keserasian kami terbina dalam masa yang singkat. Hasilnya adalah apa yang anda lihat di skrin.

Iklan

 

Nampaknya selepas anda, semakin ramai bintang Korea Selatan yang diberi peluang untuk menyerlah di peringkat antarabangsa, apa komen anda?

Don Lee : Seperti yang anda semua tahu, filem, drama, lagu K-Pop telah diterima meluas ke seluruh dunia.

Saya berbangga dapat melihat sendiri fenomena ini dan saya berharap peluang dapat diberikan kepada lebih ramai penerbit filem dan pelakon Korea seperti Park Seo Joon.

Saya harap, akan ada lebih banyak perhatian dan peluang kepada bakat-bakat ini untuk bersinar di peringkat antarabangsa.