PELAWAK dan penyampai radio, Fad Bocey dimasukkan ke High Dependency Unit (HDU) di sebuah pusat perubatan di Shah Alam selepas terlibat dalam kemalangan pada malam Isnin.

Menurut isteri Fad, Nur Syahirah A. Rahman, kemalangan berlaku kira-kira jam 7.15 malam ketika suaminya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Setia Alam.

“Ikut apa yang Fad cerita, jalan itu memang gelap dan waktu itu kira-kira jam 7.15 hingga 7.30 malam macam tu.

“Lokasi kemalangan itu hanya 1 kilometer ke susur keluar Setia Alam. Ada kereta rosak dan dia letak kon, tetapi kon itu tidak diubah dan hanya tinggal di situ begitu sahaja.

“Ada satu motor depan Fad sempat mengelak, Fad memang tak sempat nak elak dan terus langgar kon itu. Mungkin Fad fikir kalau dia terlebih elak, risiko untuk tercampak ke tengah jalan sangat tinggi.

“Kereta memang banyak dan laju. Syukur dia terbabas di lorong kecemasan. Tak boleh bayang mana dengan lori banyak di situ,” ujarnya.

FAD BOCEY

Tambah Syahirah, setakat ini Fad atau nama penuhnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 31, masih di pantau di HDU kerana mengalami hentakan pada bahagian kepala dan muntah sejurus selepas kemalangan itu.

“Keadaan terkini Fad perlu monitor di HDU sebab ada hentakan dekat kepala untuk pastikan semuanya bagus sebab dekat tempat kejadian di muntah. Tapi Alhamdulillah dia kuat.

“Fad dah mengadu sakit-sakit badan. Baru terasa mungkin sebab terhempas,” jelasnya.

Syahirah juga turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu Fad sejak awal kemalangan, termasuk rakan baik mereka, Achey yang membantu menguruskan motosikal.

“Ada dua lelaki yang teman Fad sampai kawan-kawan lain pun sampai. Untuk kalian jika terbaca ini, hanya ALLAH yang mampu balas kebaikan korang.

“Yang tolong angkat dia, yang tunggu tak bagi dia tidur. Ya ALLAH tak kenal pun tapi sanggup susah sama-sama di tepi jalan gelap macam itu.

“Jika ada kereta yang lalu kira-kira jam 7 hingga 7.30 malam, tolong hubungi saya jika ada dashcam. Mana tahu anda kebetulan nampak kejadian yang berlaku,” pinta Syahirah.