PENERBIT, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki tampil memperjelaskan tindakannya membantah penutupan sementara kelab komedi CrackHouse Comedy Club di Taman Tun Dr. Ismail ekoran kontroversi melibatkan seorang wanita mempersendakan agama Islam baru-baru ini.

Jelas Afdlin, 51, menerusi hantaran di Facebook miliknya, penutupan itu membabitkan periuk nasi banyak pihak yang tidak bersalah.

“Tidak kisahlah anda mahu bercakap apa tentang saya. Tapi untuk mengelakkan fitnah, biar saya beri sedikit lagi penerangan.

“Saya seorang beragama Islam yang sangat terkesan dan sekeras-kerasnya melaknat apa yang dibuat oleh mana-mana orang yang menghina Islam. Di dunia memang patut disaman dan dipenjarakan, tapi di akhirat dia sendiri mesti mahu ingat.

“Kenapa saya berkata saya menentang penutupan (CrackHouse Comedy Club) kerana isu periuk nasi orang yang mencari rezeki dengan membuat komedi (lawak).

“Semua orang ada kelebihan mereka yang diberi (bakat) untuk mencari nafkah. Jadi isu sekarang, kita kena dakwa pesalah itu!” tegasnya.

Selepas memberikan analogi ‘kolam renang’ untuk kefahaman masyarakat, pelawak dan penyanyi itu sekali lagi memberikan contoh mudah kepada orang ramai atas apa yang berlaku.

“Jadi bayangkan, seseorang datang ke tempat kerja anda dan tiba-tiba mendajal (membuat masalah) sehingga tempat kerja anda ditutup. Apa perasaan anda?” ujarnya yang turut mengharapkan wanita yang menimbulkan kekecohan itu patut didakwa atas kesalahan yang dilakukan.

Sebelum ini, Afdlin membantah penutupan kelab berkenaan sehingga mendapat pelbagai respons termasuklah pelawak Shahrol Shiro yang tidak bersetuju dengan pendapatnya.

AFDLIN SHAUKI
Afdlin membuat bantahan bersebab kerana mahu membela nasib pelawak lain yang terjejas.

Tambah Afdlin, dalam masa sama, prosedur operasi standard (SOP) yang tegas perlu diperjelaskan kepada setiap yang ingin membuat persembahan di ‘open mic‘.

“Saya berdiri untuk isu ini kerana saya juga ada restoran komedi yang berbentuk keluarga, Comedy Planet dahulu.

Open mic kami dilakukan dan dibuka untuk orang yang nak mencuba di restoran saya (Comedy Planet), tak pernah kami alami apa-apa penghinaan kepada agama pasal SOP yang kami beri pada pelawak.

“Jadi penutupan sementara untuk membantu siasatan polis, silakan, tapi bila saya dengar berita Crackhouse akan ditutup, saya agak terkejut. Ini kerana ia tempat di mana ramai pelawak ternama di kaca TV sekarang mendapat permulaan mereka,” ujarnya.

Iklan

Tidak menyokong

Afdlin yang cukup dikenali sebagai aktivis kerja-kerja amal serta kemanusiaan turut menegaskan prinsipnya dalam menegakkan agama Islam.

“Orang yang mengenali saya mengetahui komitmen saya kepada agama Islam, kerja-kerja NGO di Palestin, Syria dan usaha saya untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang di sekeliling saya. Yang tak mengenali saya, akan cakap apa saja yang diorang suka. Saya maafkan.

“Jadi tidak mengapa, cakaplah awak nak cakap pasal saya. Tapi periksa dulu apa yang saya maksudkan. Tak pernah sekalipun saya cakap yang saya menyokong penghina islam itu!

“Sekarang ini saya menyalahkan dia kerana menghina agama Islam! Dan menabur pasir di atas periuk nasik pengkarya yang cuba mencari sesuap nasi.

Iklan

“Kalau awak rasa tak perlu follow saya lagi silakan. Saya cuma bercakap dari hati dan bercakap benar,” ujarnya.

Terdahulu, tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu apabila seorang wanita berusia 28 tahun tampil membuat persembahan dalam satu acara komedi di CrackHouse Comedy Club.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan tudung dan baju kurung yang dipakai di atas pentas.

Ekoran daripada tindakan tidak bermoral dan dianggap mempersendakan kesucian agama, wanita terbabit kini ditahan polis untuk siasatan, selain kelab tersebut turut diperintahkan untuk ditutup buat sementara waktu bagi proses siasatan