SELEPAS meraih kejayaan memberangsangkan menerusi filem pertamanya, Confidential Assignment pada tahun 2017, filem aksi komedi terbitan produksi Korea Selatan itu kembali dengan sekuel terbaharu, Confidential Assignment 2: International.

Masih mengekalkan Hyun Bin selaku teraju utama bergandingan dengan Yoo Hae-Jin, filem arahan Lee Seok-Hoon itu tampil dengan lagak aksi dan jalan cerita yang lebih menarik.

Filem ini mengisahkan tentang seorang detektif Korea Utara, Im Chul Ryung (Hyun Bin) yang dihantar melakukan misi khas di Korea Selatan. Matlamatnya menangkap Jang Myung Joon, seorang ketua organisasi jenayah Korea Utara.

Di Korea Selatan, Chul Ryung kembali bergabung tenaga dengan Detektif Kang Jin Tae (Yoo Hae-Jin) yang kini dipindahkan ke pasukan penyiasat jenayah siber kerana kesilapannya pada misi terdahulu. Turut menyertai mereka ialah F.B.I genius, ejen Jack (Daniel Henney) yang turut mempunyai misi sama.

Antara babak-babak menarik Confidential Assignment 2: International.

Confidential Assignment 2: International ternyata sebuah filem aksi komedi yang cukup rencah. Elemen aksi bersulam komedi yang digarap kemas dan saling menyokong, sekali gus menjadi antara kelebihan utama filem ini.

Seawal minit pertama, penonton sudah disajikan dengan aksi-aksi mendebarkan dan berpanjangan sehingga ke penghujung cerita. Aksi kejar-mengejar kereta, tembak-menembak sehinggalah kepada pertarungan epik di atas lif luar bangunan pencakar langit di tengah kota Seoul.

Dereten aksi ngeri yang ditampilkan meyakinkan, malah memberikan kepuasan kepada penonton yang gemarkan genre sebegini. Pujian juga untuk koreografi aksi yang cukup kemas dan cantik untuk sebuah filem aksi dari Asia.

Tidak hanya itu, elemen komedi diselitkan juga tidak terlihat janggal atau sengaja dibuat-buat untuk memanjing tawa penonton, sebaliknya lebih bersahaja mengikut situasi dan karakter yang mengisi fungsinya dengan baik.

Iklan

Penonton juga dikejutkan plot twist yang membuatkan mereka lebih teruja untuk mengetahui kesudahan cerita tersebut.

Secara keseluruhannya, Confidential Assignment 2: International merupakan sebuah filem aksi komedi yang sangat menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton di pawagam.

Iklan

Confidential Assignment 2: International
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P13
Genre: Aksi/komedi
Durasi: 2 jam 9 minit
Pengarah: Lee Seok-Hoon
Pelakon: Hyun Bin, Yoo Hae-Jin, Yoona, Daniel Henney, Jin Seon-Kyu
Tarikh Tayangan: 15 September 2022
Terbitan: ATriNaga Sdn Bhd