Elemen Gamelan dalam Legenda versi MonoLoque

MonoloQue
MonoloQue
A
A
A

SEBUT sahaja lagu Legenda, nyanyian Datuk Sheila Majid pasti sahaja ramai tahu tentang aura dimiliki lagu itu sehingga malar segar sehingga hari ini.

Mahu terus mengangkat lagu tersebut, kumpulan MonoloQue tampil dengan satu interpretasi baharu terhadap karya ciptaan Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan Habsah Hassan itu menerusi elemen irama gamelan Melayu.

Gubahan semula lagu Legenda bersama Orkes Gamelan Pahang DiRaja dan Kimal daripada kumpulan Margasatwa ternyata berjaya menghasilkan keunikan tersendiri kepada lagu itu.

Menurut MonoLoQue yang diwakili Loque atau nama sebenarnya Kharil Ridzwan Anuar, 44, biarpun Legenda telah digubah dengan 180 darjah elemen muzik baharu, namun saripati jiwa lagu tersebut iaitu irama asalnya, masih dikekalkan.

“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asalnya. Lagu Legenda versi itu semestinya tiada tandingan.

“Saya cuma menyuntik unsur-unsur terkini dalam lagu ini. Diharap versi kami akan menjadi petunjuk arah kepada versi asalnya di samping rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian gamelan Melayu,” katanya.

Tambah LoQue, lagu tersebut merupakan belasungkawa tertinggi kepada para legenda, baik yang dikenang atau yang tidak didendang sepanjang zaman.

Jika versi asal Legenda merupakan penghargaan buat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dedikasi Legenda versi baharu itu pula diperluaskan lagi sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkorban kepada negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

Akui LoQue, peluang untuk memperbaharui lagu Legenda adalah satu penghormatan besar buat dirinya.

“Sewaktu menghasilkan lagu ini, saya menterjemah penghargaan terhadap para perwira. Baik kecil, besar, dikenali, dilupakan dan sebagainya dalam bentuk irama.

“Hari ini dalam keadaan dunia dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang harus dihargai. Bermula daripada petugas barisan hadapan sehinggalah kepada penghantar makanan.

“Di kala ‘perang halimunan’ ini, semuanya adalah perwira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara. Mereka adalah legenda,” kata LoQue.

Legenda versi baharu itu dimuatkan dalam album berkembar MonoloQue yang mempunyai dua versi iaitu Piring Hitam (Vinyl) dan Cakera Padat (Deluxe).

Versi piring hitam dihasilkan pada tahun 2018 dan merupakan persembahan MonoloQue yang dinyanyikan secara solo oleh LoQue dengan memuatkan 20 buah lagu.

Manakala cakera padat pula merupakan kerjasama kreatif LoQue dan Kimal Margasatwa pada tahun 2020, menerusi 27 lagu yang diperbaharui gubahannya.

Legenda versi baharu juga boleh didengar menerusi platform muzik digital Spotify, Apple Music, Deezer dan Tidal.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca