PLATFORM penstriman muzik dan hiburan terkenal, JOOX membuktikan muzik mampu melangkaui sempadan dengan melancarkan inisiatif kolaborasi muzik global.

Kolaborasi hebat itu menyaksikan rakaman semula dan remix eksklusif single baharu Alan Walker berjudul Believers di JOOX dengan menampilkan barisan artis dan penerbit muzik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Hong Kong.

Rakaman semula lagu tersebut yang menampilkan gaya dan sentuhan tersendiri barisan bintang muzik popular Asia itu kini boleh didengar secara eksklusif di JOOX.

Salah seorang bintang yang terlibat ialah penyanyi berbakat besar tanah air, Naim Daniel yang turut melancarkan versi remix sentuhannya sendiri.

Menurut Naim, rakaman semula lagu tersebut dilakukan dengan cara tersendiri mengikut cita rasa peminat muzik Malaysia.

“Bahagian terbaik daripada rakaman semula ini apabila kami dibenarkan mengubah lagu tersebut untuk disesuaikan dengan cita rasa peminat muzik Malaysia.

“Untuk menjadikan lagu ini lebih menarik, saya menambah elemen seruling bagi memberikan suasana nusantara.

“Lagu ini begitu dekat dengan saya kerana ia boleh dikaitkan dengan situasi pandemik Covid-19 yang sedang dilalui.

“Kita perlu terus ‘percaya’ untuk mengejar impian yang tertangguh kerana pandemik ini,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Alan Walker mengakui teruja melihat barisan bintang terlibat membuat rakaman semula dan remix Believers dengan cara berbeza.

“Bekerjasama menjayakan projek ini bersama dengan mereka adalah sesuatu yang sangat mengujakan.

Iklan

“Saya kagum apabila melihat mereka mempunyai visi dan arah berbeza untuk menyampaikan lagu ini.

“Sangat terinspirasi bagaimana mereka memasukkan gaya dan cita rasa sendiri dalam lagu ini sehingga menjadikan ia berbeza,” katanya.

Menariknya, pengguna JOOX juga boleh menyertai cabaran #BelieversonBuzz dengan merakamkan video dengan remix ekslusif Believers dan berpeluang memenangi barangan eksklusif yang ditandatangani Alan Walker.