KEMAJUAN teknologi pada masa kini menjadi satu kelebihan buat pengguna untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas.

Bagaimanapun jika disalah guna, kecanggihan teknologi ini mendorong pengguna untuk menjadi pembuli siber.

Bahkan ramai selebriti hari ini menjadi mangsa buli siber apabila dikecam, dicaci, dihina, hanya kerana perbezaan pendapat tentang sesuatu isu atau kontroversi yang berlaku dalam kerjaya mereka.

Salah seorang selebriti yang pernah menjadi mangsa buli siber adalah pelakon Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri atau lebih dikenali sebagai Elfira Loy.

Pernah menerima pelbagai mesej kecam dan cacian atas kisah peribadinya yang berlaku sebelum ini, selebriti berusia 27 tahun itu mempunyai cara tersendiri untuk ‘membalas’ terhadap pembuli siber.

“Tipulah kalau saya kata tak pernah jadi mangsa pembuli siber. Macam-macam kata hinaan, cacian yang mereka lemparkan kepada saya.

“Apa saya buat? Saya ambil pendekatan untuk berdiam diri sahaja.

“Bagi saya, orang kalau tak suka, tak kisahlah kita buat baik macam mana sekali pun, dia hanya tunggu bila kita buat silap dan akan serang kita.

“Kemudian, saya kongsi momen-momen yang bahagia. Walaupun ramai yang sakit hati, tetapi saya biarkan sahaja dan lama-kelamaan pembuli ini akan terfikir : ‘oh, bahagia je dia..’,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Anti-Buli Siber oleh Himaya Premium Hijab Medical Mask bersama barisan dutanya termasuklah Amira Othman, Wany Hasrita dan Erra Fazira.

Elfira bersama duta-duta Himaya, Wany Hasrita, Amira Othman dan Erra Fazira (tiada dalam gambar) berganding bahu untuk menangani buli siber.

Tambah Elfira, dia sendiri pernah berada dalam situasi tertekan apabila menjadi mangsa kecaman dan buli di media sosial, namun dia bukan seorang yang mudah mengalah.

“Saya adalah seorang pejuang, diam bukan tanda saya kalah. Cuma bila nak melawan, kita kena lihat pada situasi.

“Malah saya rasa artis pun perlu tahu cara menangani buli siber ini. Jangan bertelagah dengan mereka sebab mereka suka bila kita melayan apa yang mereka katakan,” ujarnya.

Bagaimanapun ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu, budaya membuli di alam siber ini tidak boleh dibiasakan dan semua pihak perlu mempunyai kesedaran terhadap kesan berpanjangan kepada mangsa.

“Apabila saya lihat orang jadi mangsa buli siber, saya cuba bantu walaupun ada ketikanya saya kena balik.

“Sebenarnya semua orang kena main peranan, sama-sama membantu mangsa dan menegur pembuli ini.

“Saya rasa, mereka anggap kebebasan untuk bersuara itu bukan satu kesalahan, apatah lagi bila tiada yang menegur, pembuli ini anggap cara mereka meluahkan pendapat itu betul.

“Tidak salah untuk menegur, lebih-lebih lagi jika orang itu buat kesilapan. Tetapi biarlah dengan bahasa dan cara betul,” tegasnya.

Iklan

Kesedaran ambil vaksin

Sementara itu, ditanya pengalamannya mengambil vaksin AstraZeneca dos pertama baru-baru ini, Elfira berkata, biarpun dimomokkan dengan kesan buruk pengambilan vaksin, dia nekad untuk meneruskan hasrat itu.

Ujar ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf, 2, dia bersyukur apabila urusan pengambilan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dipermudahkan.

“Sejujurnya saya paling takut bertemu doktor dan mendapatkan suntikan. Tetapi dengan situasi sekarang, saya rasa vaksin ini adalah satu keperluan.

“Tipulah kalau saya kata tak berdebar-debar ketika dalam perjalanan ke UKM. Bagaimanapun sebaik tiba di sana, melihat orang ramai beratur, mengisi borang dan menunggu giliran untuk mengambil vaksin, debaran itu hilang dengan sendirinya.

“Selepas mendapatkan suntikan, saya rasa buat ujian calitan lebih sakit daripada dicucuk vaksin,” ujarnya.

Iklan
Elfira memilih untuk mengambil vaksin bagi memastikan dirinya dan keluarga mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Tidak hanya mendaftar untuk diri sendiri, Elfira juga sempat mendaftarkan suami, Muhamad Faris Khairol Anuar, adik perempuan dan ibunya untuk mendapatkan suntikan.

Elfira berkata, sekiranya masih ada yang ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin, dia menggalakkan individu tersebut mendapatkan pandangan doktor.

“Bila kita takut, kita memang akan fikir kesan buruk. Ikutkan sistem imun setiap individu itu berbeza. Ambil apa vaksin sekalipun, mesti ada seorang dua yang menerima kesan sampingan.

“Sebab itu seeloknya dapat pandangan daripada yang pakar. Untuk kesan sampingan macam demam ke, sakit badan, bagi saya itu normal. Itu juga tanda badan kita sedang bertindak balas.

“Bila kita dah ambil, secara tak langsung boleh yakinkan orang lain untuk pergi ambil juga,” jelasnya.