KEIKHLASAN penyanyi dan komposer, Khai Bahar membuat ulasan produk dan mempromosikannya di Instagram (IG) dan platform media sosial lain menarik ramai pihak untuk menyuntingnya sebagai duta.

Namun rezeki menyebelahinya baru-baru ini apabila bergelar saudagar produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin jenama Chocoalbab.

Jelas Khai, pada awalnya dia sudah menolak tawaran untuk menjadi duta produk itu pada Oktober tahun lalu.

“Usaha pihak jenama itu tak pernah kenal istilah putus asa. Tak boleh cara begitu dan begini, mereka guna pula insan yang saya baik. Nampaknya menjadi juga usaha itu kerana saya akhirnya mengalah.

“Tambah pula saya penggemar coklat. Siapa yang tak suka coklat? Dipendekkan cerita sejak Januari lalu, saya ‘diikat’ mereka untuk tempoh tertentu. Kalau mereka berpuas hati, insya-Allah berpanjanganlah ‘jodoh’ kami.

“Saya pun bukan jenis yang sesuka hati mempromosikan produk makanan khususnya. Kalau tak sedap, saya takkan terima jadi duta.

“Saya tak mahu dilihat seperti ‘munafik’ mempromosikan makanan tak sedap hanya kerana dibayar,” katanya yang baru sahaja melancarkan single berjudul Damba.

Khai bersama pengasas Chocoalbab, Said Saiful Fazli.

Tambah Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 27, sudah terbiasa menjadi sikap dan tabiatnya melakukan sesuatu dengan ikhlas.

Iklan

Jadi tidak pelik, pemilik empayar jenama produk itu memuji sikap tidak berkira penyanyi lagu Luluh berkenaan yang pernah melakukan promosi produk itu lebih 19 kali dalam tempoh sebulan tanpa mengenal waktu.

“Saya bukan nak tunjuk baik. Cuma ia lebih kepada sikap hakiki manusia. Saya percaya orang lain pun mungkin akan buat benda sama.

“Dalam hal berlebih lebih mempromosikan ini daripada apa yang ditetapkan, saya percaya ia berbalik kepada soal timbal balik sesuatu perkara. Mungkin sudah jadi sikap saya sebegitu,” kata pelakon drama Shakira itu.

Iklan

Diaju soalan mengenai sesetengah figura popular yang berkira kira mempromosi produk sama ada dibayar atau sebaliknya, selain menjaga kandungan di muat naik di media sosial, Khai percaya semua berbalik kepada diri masing masing.

“Saya tak boleh nak komen hal itu berdasarkan kapasiti atau pandangan orang lain. Lain orang, lain caranya. Cuma menjadi amanah kita mempromosikan sesuatu produk atau jenama apabila dibayar khidmat itu. Kalau sebaliknya, itu lain cerita,” katanya yang sedang menghitung hari menjayakan Konsert Nafas Cinta, Khai Bahar pada 12 Februari ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac).