Enggan menoleh lagi, Shiha Zikir ‘pekakkan’ telinga dengan penghinaan
SECARA peribadi, penulis mengenali Shiha Zikir sebagai seorang penghibur yang ceria dan mesra. Pun demikian, saat juraian air matanya tumpah tatkala kami bertemu dua minggu lalu mengejutkan penulis, malah teman-teman media lain.
Sepanjang hampir 30 minit sesi temu bual, beliau dilihat sedaya upaya mengawal sebak, namun nadanya yang bergetar dan tersekat-sekat membikin kami turut larut dalam perasaan sama.
Emosi Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir bukan dibuat-buat, apatah lagi satu lakonan, tetapi itulah terjemahan kepada kekecewaan yang merasuk dalam jiwanya sejak sekian lama.
Ya, tidak mudah bergelar selebriti. Dicemuh ramai terutama rakan satu industri bukan satu perkara yang ‘enak’ untuk direntas. Namun, kata Shiha, jika dilayan, memang tiada kesudahannya.
Justeru, lebih baik kata-kata nista itu dicampak sejauh mungkin. Tahun 2022 yang baru menjengah, adalah masa terbaik untuk terus melangkah jauh dalam dunia seni yang menjadi destinasinya mencari rezeki.
“Apa yang sudah saya lalui pada tahun 2021 menjadikan saya lebih kebal. Insya-ALLAH, tahun 2022 akan diharungi dengan lebih kuat lagi. Selepas ini, jika ada yang menegur untuk ke arah kebaikan, saya akan ambil dan perbetulkan. Namun, kalau ia satu penghinaan, saya akan tolak jauh-jauh.
“Saya tidak mahu lagi simpan dalam hati lama-lama. Saya juga percaya, apa yang terjadi ini ada hikmah dan pengajaran yang boleh saya belajar.
“Saya juga terapkan dalam diri agar tidak mudah menghina orang lain sebab saya tahu betapa ‘sakitnya’ rasa itu,” katanya kepada SinarPlus.
Menjadikan ibu sebagai kunci semangat, selebriti berusia 34 tahun itu berkata, beliau akan memastikan individu yang berada di sekeliling terdiri daripada mereka yang sentiasa menyokong dirinya.
“Sesungguhnya, mak saya ialah sosok penting yang beri kekuatan kepada saya setiap hari. Selain mencari rezeki, hidup saya adalah untuk mak dan keluarga. Selain itu, saya rasa bertuah kerana pengurus saya (Arul), pembantu peribadi termasuk peminat sentiasa bersama saya.
“Apa yang membuatkan saya terharu, ketika cerita mengenai saya keluar baru-baru ini, saya takut sangat nak baca komen sebab bimbang dihentam lagi. Pun demikian, saya terkejut apabila ramai orang yang memberi kata-kata semangat. Terima kasih kepada mereka yang tidak putus-putus menyokong saya,” ujarnya penuh syukur.
Lebih cemerlang
Dalam pada itu, ditanya mengenai masalah kebimbangan melampau yang dihidapinya, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, setakat ini beliau belum bertemu mana-mana pakar.
“Saya tidak menemui pakar, tetapi ada berjumpa dengan doktor yang banyak beri motivasi dan nasihat.
“Contohnya kalau penat, doktor nasihatkan saya supaya perlu rehat. Elakkan berfikir berlebihan untuk perkara yang tidak perlu, sebab saya selalu bimbangkan benda yang belum jadi. Saya sejenis yang pentingkan kesempurnaan. Orang rasa dah okey, tetapi saya rasa sebaliknya,” jelasnya.
Penyanyi lagu Makrifat Cinta itu berkata, beliau juga beriltizam untuk mengubah cara hidup menjadi lebih sihat, positif dan produktif.
“Sebenarnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya banyak gunakan masa terluang untuk membaca, buku-buku motivasi dan agama. Alhamdulillah, genre agama telah membantu mentransisikan diri menjadi orang yang lebih baik. Alhamdulillah bila diuji baru-baru ini pun, saya sudah rasa manis apabila kita bersabar,” ujar beliau.
Kepada Shiha, penulis bertanyakan apa nasihatnya kepada golongan yang suka memperlekehkan orang lain? Selebriti versatil tersebut lantas berkata: “Perkara utama yang perlu diperbaiki ialah diri sendiri.”
Dengan penuh penegasan, beliau mengungkapkan, sukar untuk kita mengubah individu lain walau segunung atau selautan nasihat dikongsikan.
“Justeru, nasihat saya kepada orang yang diperlekehkan atau diperkecilkan oleh orang lain, ubah diri dan cara pemikiran kita.
“Cari jalan macam mana kita nak kendalikan perkara yang kita tidak suka dengar. Misalnya, elak berjumpa dengan individu sebegitu dan sentiasa berada dalam lingkungan mereka yang positif,” sarannya.
Sebenarnya, kami tidak berhasrat untuk berbicara lanjut tentang hal-hal yang hanya membingungkan kepala. Jadi, pada kesempatan itu, penulis memintanya berkongsi tentang perkembangan seni yang menjadi kecintaan beliau.
Mendengarkan persoalan itu, Shiha tersenyum lebar lalu bercerita tentang lagu tradisional yang bakal diketengahkannya tidak lama lagi. Pada masa sama, beliau juga sedang sibuk menjalani penggambaran Ada Apa Dengan Saka untuk siaran TV9.
“Apa yang saya harapkan, 2022 akan jadi tahun yang lebih cemerlang. Saya berharap setiap karya yang dikeluarkan akan diterima baik, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di luar negara seperti single AEWO. Teruskan menyokong saya dan saya berterima kasih yang mempercayai bakat saya.” katanya menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang