“Tanggal 31 bulan lapan, 57. Merdeka, merdeka, tetaplah merdeka. Ia pasti menjadi sejarah. Tanggal 31 bulan lapan, 57. Hari yang mulia, hari bahagia sambut dengan jiwa yang merdeka.“

Itulah antara kalimat keramat yang sering diperdengarkan sama ada di corong radio, televisyen, YouTube atau melalui saluran media sosial tatkala menjelang hari kemerdekaan negara, 31 Ogos.

Pendek kata, lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad bertajuk Tanggal 31 itu tetap menjadi siulan sejak berdekad lamanya.

Bercerita tentang kemerdekaan, baru-baru ini penulis berkesempatan mewawancara penyanyi ternama negara, Ernie Zakri. Sesungguhnya, di antara Ernie dan arwah Sudirman mempunyai persamaan.

Seperti menyoroti rentak Allahyarham, suri hati kepada penyanyi popular, Syamel turut berkongsi semangat patriotismenya menerusi nyanyian lagu patriotik bertajuk Malaysia Prihatin.

Terlebih dulu katanya, beliau berbesar hati kerana diberi kepercayaan mendengdangkan lagu bertemakan kemerdekaan hasil ciptaan komposer yang tidak asing lagi di Malaysia, Datuk Mokhzani Ismail, manakala liriknya nukilan El Sol Akhmad.

Selaku penyanyi berpengalaman dan memahat dirinya sebagai juruvokal unggul, selebriti berusia 29 tahun itu mengakui, beliau hanya mengambil masa sehari sahaja menjalani proses rakaman di studio.

Namun, bukan hal itu yang ingin digazetkan, sebaliknya keterujaan beliau melihat reaksi positif khalayak terhadap lagu tersebut.

Akui pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu, respons berkenaan membuatkan dirinya berasa lebih dihargai dan berbangga saat naskhah bersifat nasionalisme tersebut diperdengarkan buat pertama kalinya pada tahun 2020.

“Apabila ditawarkan untuk menyanyikan lagu untuk negara, saya sangat bangga dan teruja. Setidaknya, ada sumbangan saya untuk Malaysia tercinta,“ ujarnya memaku jawapan.

Cerita pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-32 itu lagi, bagi menjayakan lagu Malaysia Prihatin, perbincangan ataupun curahan idea antara dirinya bersama Mokhzani, dilakukan menerusi WhatsApp sahaja.

“Ya, melalui WhatsApp saja, namun alhamdulillah, syukur segalanya berjalan lancar, ditambah saya juga sudah membuat persediaan awal.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Datuk Mokhzani kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan lagu hebat ini. Sejujurnya saya sangat sukakan gubahan patriotik ini kerana ia lain daripada lain dan memiliki unsur klasik di dalamnya,“ terang Ernie yang sebelum ini pernah terlibat dengan beberapa barisan artis menyanyikan semula lagu patriotik berjudul Setia.

Makna kebebasan

Antara patriotik, kemerdekaan dan kebebasan, sememangnya mempunyai satu hubungan erat dan pragmatik. Ernie mengakui hakikat itu. Namun tatkala menyentuh soal bebas, beliau mempunyai perspektifnya sendiri.

Beritahunya kepada penulis, situasi semasa yang menyaksikan seantero dunia dihambat dengan virus berbahaya, Covid-19 lebih mengajarnya tentang erti kebebasan yang sebenar.

“Meskipun saban tahun pandangan saya terhadap kemerdekaan itu lebih bersifat kepada semangat dan kasih sayang, tetapi pada tahun ini ,ia memberi definisi yang lebih bermakna.

“Masakan tidak, lebih setahun berada dalam keadaan sebegini (Perintah Kawalan Pergerakan), banyak yang saya pelajari tentang nikmat kebahagiaan, kemerdekaan dan kebebasan.

“Justeru, bagi saya, sebaiknya kita patuh sahaja pada arahan kerajaan untuk bersama-sama membantu dan berganding bahu menangani penularan virus Covid-19 ini daripada terus bermaharajalela di muka bumi ini.

“Bak kata pepatah, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Apa yang kita lakukan ini juga merupakan salah satu bakti dan perjuangan kita kepada negara. Insya-ALLAH, sekiranya kita akur dan ikutkan semua peraturan, segalanya akan baik-baik saja. Impaknya pasti kita dapat memperoleh kembali kebebasan yang sudah lama hilang itu,“ tuturnya penuh iltizam.

Dalam pada dirinya berkobar-kobar bercakap tentang kemerdekaan, terselit perasaan hampa dalam diri penyanyi bersuara lantang itu.

Jika dicongak, katanya, tahun ini merupakan kali kedua negara tidak dapat meraikan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-64 dalam suasana meriah dan berwarna-warni seperti sebelum ini.

“Kalau kita lihat, bukan saja sambutan ulang tahun kemerdekaan, malah pelbagai perayaan lain juga perlu diraikan dengan norma baharu. Sedih memang sedih, namun inilah dikatakan pengorbanan, sementelah wabak ini belum tahu bila akan menemui noktahnya,“ katanya seperti bermonolog.

Namun, kata Ernie kepada SinarPlus, beliau tidak mahu membiakkan emosi kecewa itu. Tegas mantan guru muzik di Akademi Muzik Bentley itu, kemerdekaan sebenarnya boleh disambut dengan pendekatan berbeza, tidak hanya tertakluk kepada pertunjukan bunga api atau acara hiburan semata-mata.

“Rasa kasih dan berterima kasih kepada tanah air dan pemimpin boleh dilakukan dengan cara memupuk diri kita untuk bertolak ansur antara satu sama lain tidak mengira kaum. Selain itu, tanamkan sikap bertimbang rasa dan ia boleh diterjemahkan dengan membantu golongan yang memerlukan pada saat pandemik yang sangat mencabar kehidupan manusia sejagat,“ katanya.

Masih berdialog tentang kemerdekaan, penulis kemudian mengajaknya mengimbau kenangan lama. Manalah tahu, kalau-kalau beliau menyimpan kemas kenangan menyambut hari merdeka ketika dibangku sekolah. Tanpa disangka, pertanyaan itu disahut dengan penuh ceria.

“Segalanya masih segar dalam ingatan saya. Saya, rakan sekelas dan cikgu sama-sama menghias bilik darjah dan perkarangan sekolah dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan memakai baju kebangsaan.

“Rasa seronok sangat bila melihat kawan-kawan memakai baju tradisional daripada pelbagai bangsa. Satu lagi, saya juga berpeluang mengadakan persembahan nyanyian bagi menyemarakkan lagi hari penting negara itu,“ titipnya dengan suara yang girang.

Spektrum baharu

Iklan

Cukup sudah bersembang mengenai ‘hari kebebasan‘, penulis mengusiknya dengan pertanyaan mengenai rumah tangga yang baru dibinanya pada Mac lalu. Beliau terus tertawa kecil, seolah-oleh menunjukkan diri sedang diulit bahagia.

“Saya dan Syamel sebenarnya seperti berbulan madu, tetapi di rumah sajalah sejak berkahwin. Terus terang saya katakan, saya banyak menghabiskan masa mengurus perihal rumah tangga dan suami. Urusan kerjaya pula dilakukan secara dalam talian. Ya, berurusan secara maya memang tidak mengganggu aktiviti harian saya.

“Saya juga sangat bersyukur kerana sejak berkenalan dan bertunang dengan Syamel, kami sudah saling memahami kesibukan kerjaya masing-masing. Tiada bezanya urusan kerja sebelum dan selepas kahwin memandangkan kami berada dalam satu aliran yang sama,“ katanya.

Ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur berkenaan lagi, persefahaman dan keserasian yang dijalin itulah membuatkan mereka sering dikaitkan sebagai pasangan ideal atau popular dengan istilah couple goals.

“Saya anggap setiap pujian itu sebagai doa dan kami tidak pernah akan menafikan atau mengatakan tidak kerana susah untuk orang lain doakan yang baik-baik untuk kita. Cara mudah, kami amin kan sahaja.

“Lagipun saya dan Syamel sama juga seperti pasangan lain yang ada naik turunnya. Jadi apabila ada yang mendoakan perkara baik-baik sebegini, kami berasa sangat gembira dan bersyukur,“ ujarnya.

Walaupun begitu, kata Ernie, dirinya tetap memilih untuk tidak terlalu berkongsi hal peribadi kepada umum demi menjaga privasi. Biarpun bergelar selebriti, tetap ada beberapa perkara yang menjadi batas antara dirinya dengan khalayak, tegasnya.

Stailo

Kepada yang peka, anda pasti melihat transisi Ernie dalam berfesyen selepas berhijrah mengenakan hijab sekitar awal tahun 2020.

Iklan

Kongsi Juara Duo Star 2017 itu, pada awalnya agak sukar untuk beliau mendapatkan gaya dan penampilan yang sesuai untuk dipadankan dengan tudung. Mujur, dirinya banyak dibantu oleh penata gaya yang banyak memberi tunjuk ajar dan pandangan dalam soal pemilihan busana dan fesyen.

Ketika bersembang mengenai topik fesyen, Ernie berulang kali mengucapkan terima kasih kepada penata gaya yang mencorakkan personaliti baharunya.

“Ya, saya agak kekok dan gusar sekiranya pakaian yang dipilih tidak sepadan termasuk reaksi khayalak terhadap diri ini. Kalau mahu diikutkan, saya seorang yang mudah dan santai. Apabila berada di luar, saya memilih pakaian yang selesa untuk dipakai, namun apabila ingin muncul di hadapan kaca televisyen, segalanya perlu diambil kira.

“Ilham dan inspirasi itu saya ambil dari mana-mana sahaja terutama trend semasa. Namun, gaya atau stail yang dipilih perlu sesuai dengan saya agar tidak kelihatan canggung nanti,“ terang pasangan duet kepada Hafiz Suip dalam lagu duo baharu, Berakhirlah Pencarianku.

Tambahan, sebagai seorang selebriti tuturnya, penampilan sangat penting tidak mengira sama ada menghadiri acara formal atau tidak. Baginya, ‘kemunculan‘ di media sosial perlu seiring dengan gaya saat bersosial di luar.

“Tidak perlu ekstravaganza, gaya yang dipilih perlu kemas, teratur dan bersih. Bukan kerana saya seorang artis, tetapi setiap individu perlu menjaga penampilan diri,“ ujarnya.

Kepada semua pembaca SinarPlus, selamat menyambut Hari Kebangsaan. Semoga negara kita akan terus aman dan makmur.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram