Eyka Farhana tak putus asa; sedia menetap di Indonesia untuk kembangkan kerjaya

A
A
A

PENGALAMAN disunting dan membintangi naskhah terbitan produksi luar, Pretty Little Liars, tahun lalu menjadi momen sukar dilupakan buat pelakon kecil molek, Eyka Farhana.

Secara tidak langsung, Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 26, berpeluang menunjukkan bakatnya di negara orang.

Bagaimanapun penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan di Malaysia membuatkan Eyka terpaksa melupakan hasrat kembali semula ke Indonesia bagi menjayakan sambungan Pretty Little Liars musim kedua.

Jelas Eyka, pada mulanya dia hampir terbang ke Indonesia untuk menjalani sesi latihan dan penggambaran bermula 25 Jun ini, namun terpaksa melepaskan saat akhir disebabkan komitmen kerja yang belum selesai di sini.

“Kalau ikutkan perancangan asal, saya berangkat ke Indonesia pada 1 Jun lalu dan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum memulakan penggambaran.

“Boleh dikatakan segala urusan untuk ke sana sudah 90% siap dan permit kerja juga sudah diluluskan. Tetapi disebabkan komitmen penggambaran yang belum selesai selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini, saya pasrah untuk batalkan pembabitan dalam drama itu .

“Disebabkan ia drama adaptasi dan watak tidak boleh digantikan begitu sahaja, maka peranan saya sebagai Ema digantikan pelakon lain,“ katanya kepada SinarPlus.

Tambah Eyka, biarpun kecewa peluangnya melebarkan sayap ke sana tidak kesampaian, dia percaya dengan percaturan ditentukan ALLAH SWT buatnya.

“Ikutkan bila tak jadi ke sana, ia kerugian besar sebab saya mahu lebarkan kerjaya di negara seberang.

“Saya tetap berfikiran positif dan menganggap mungkin ada rezeki lain dan me­nganggap ada hikmah atas apa yang berlaku,“ katanya.

Eyka membawakan salah satu watak penting dalam drama bersiri Pretty Little Liars untuk siaran Indonesia tahun lalu.

Ditanya adakah dia bersedia untuk menetap di Indonesia bagi meneruskan cita-citanya yang tertangguh itu, Eyka berkata, seandai diberi peluang, dia tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau ada rezeki dan peluang mengembangkan bakat ke Indonesia, saya memang nak. Berlakon bukan hanya kerja tetapi dalam masa sama kita belajar.

“Jadi bila ke sana, saya anggap ia sebahagian peluang untuk belajar juga,“ jelasnya.

Dalam pada itu, drama lakonan Eyka iaitu Budak Tebing 2 telah mula bersiaran di TV3 pada 18 Jun lalu, setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.

Drama arahan Feroz Kader itu turut dibintangi Adam Lee, Aedy Ashraf, Bella Downna, Firdaus Ghufran dan ramai lagi.

Berkongsi penglibatannya dalam drama itu, Eyka berkata, dia kekal membawakan watak sebagai Ira.

“Untuk musim kedua, saya masih tinggal serumah dengan Laura, lakonan Bella Dowana. Kali ini ada beberapa konflik yang berlaku antara Ira dan Laura.

“Tidak sukar mencari keserasian bagi musim kedua sebab kami dah berlakon bersama sejak tahun lalu.

“Cuma apa saya bimbangkan adalah jangkaan penonton untuk drama ini dan berharap ia akan dapat sambutan seperti musim pertama,“ katanya.

Eyka dan Aedy Ashraf mendengar arahan pengarah Budak Tebing 2, Feroz Kadir (kiri).

Rindu angin laut

Sementara itu, ditanya mengenai rutinnya semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan 1 Jun lalu, Eyka berkata, dia tidak berasa tertekan seperti PKP pertama tahun lalu kerana sudah lebih bersedia.

Katanya, dia percaya dengan keputusan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 daripada menjadi lebih parah dalam masyarakat.

“Saya buat rutin seperti biasa dan dalam masa sama tolong mama berniaga sambal ikan bilis secara dalam talian.

“Nak berniaga sendiri, saya belum yakin dan tak mahu buat kerja separuh jalan. Jadi saya bantu mama mana yang patut dan timba pengalaman berniaga,“ ujarnya.

Mengakui rindu menjalani kehidupan seperti sebelum ini dan berpeluang ke luar negara bercuti bersama keluarga serta teman rapat, Eyka berkata, dia merancang untuk bercuti ke Eropah dan ke pantai sebaik dibenarkan berbuat demikian.

“Tipulah kalau kata tak rindu untuk pergi bercuti. Saya teringin bercuti ke Eropah dan ke pantai peranginan. Rindu angin laut.

“Harap sangat Covid cepat berakhir di Malaysia. Tahun 2021 pun dah setengah tahun berlalu, jadi saya berharap kita dapat nikmati baki 2021 dengan baik.

“Bagi yang belum ambil vaksin, ambillah vaksin. Ia bukan untuk diri kita sahaja tetapi untuk semua,“ ujarnya yang masih menanti tarikh temujanji untuk vaksin dos kedua.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca