SELEPAS lebih dua tahun berdepan situasi suram dalam industri seni akibat pandemik Covid-19, bintang popular, Eyka Farhana kembali bersemangat mengembangkan kerjaya lakonannya.

Menurut Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 27, aktiviti seninya kini rancak dengan pelbagai projek baharu yang sedang dan akan menemui peminat tidak lama lagi.

Tidak mahu terikat dengan watak dan karakter sama dalam lakonan, Eyka mengakui sentiasa memastikan karya baharunya tampil dengan kelainan.

“Saya mahu berikan kelainan dalam lakonan dan mencuba pelbagai watak yang belum pernah dijayakan sebelum ini.

“Terbaru saya mendapat peluang tersebut menerusi filem Autumn In Wales di mana peminat boleh melihat saya membawa watak gadis bimbo, lantang dan ada elemen komedi.

“Mungkin ada peminat yang tidak biasa melihat saya dengan watak sebegini, tetapi inilah kelainan yang saya mahu tonjolkan agar mereka dapat tengok kepelbagaian dalam lakonan saya,” ujarnya yang memegang watak sebagai Aira.

Selain filem yang sedang hangat ditayangkan di saluran Astro First itu, Eyka juga tampil dengan drama baharu berjudul Bila Hati Memilih Dia yang bersiaran di slot Samarinda, TV3 bermula 28 Mac.

Pelakon yang baru sahaja sembuh daripada jangkitan Covid-19 itu menegaskan untuk sentiasa menghargai peluang dan memberikan yang terbaik dalam usaha menjadi pelakon disegani.

Biarpun langkah untuk mengembangkan bakat dan membina nama di Indonesia terbantut disebabkan keadaan pandemik yang meruncing pada tahun lalu, Eyka yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

“Pada tahun lalu saya sepatutnya terbang ke Indonesia untuk menyambung musim kedua drama popular, Pretty Little Liars versi Asia, namun ia tidak menjadi kenyataan disebabkan sekatan perjalanan ke luar negara pada ketika itu.

Iklan

“Jadi watak Emma yang saya pegang menerusi musim pertama itu terpaksa digantikan dengan pelakon lain. Jujurnya saya sangat kecewa kerana terlepas peluang yang bakal memberi pengalaman baharu dalam kerjaya.

“Bagaimanapun bila difikirkan balik, pasti ada hikmah di sebaliknya. Saya percaya ada peluang yang lebih baik datang kepada saya selepas ini,” katanya yang lama menyimpan impian untuk mengembangkan kerjaya di negara seberang.

Penampilan

Dalam sibuk merencana kerjaya seni ke tahap lebih baik, bintang Polis Evo itu akur berdepan cabaran era baharu melibatkan warga maya di media sosial yang sering mencari kesalahan untuk dijadikan bahan kecaman.

Iklan

Eyka juga tidak terkecuali menjadi perhatian apabila penampilannya dikatakan agak seksi dan mengundang rasa kurang senang warga maya yang mula melontarkan pelbagai komen negatif.

“Saya tidak mahu menjadi hipokrit. Apa yang mereka lihat di media sosial, begitu jugalah penampilan sebenar saya di luar.

“Saya selesa menjadi diri sendiri dan pakai apa yang dirasakan sesuai. Penampilan saya hanya biasa-biasa sahaja dan tidaklah terlalu seksi sehingga menunjukkan apa yang tidak sepatutnya,” tegasnya.