PENGACARA dan penyampai radio, Fara Fauzana memaklumkan dia disahkan positif Covid-19 setelah lima hari menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit.

Kongsi Fara atau lebih dikenali dengan panggilan Fafau, 41, dia sudah menjalani kuarantin sejak Isnin minggu lalu, sebelum dimaklumkan positif virus itu pada Ahad.

“Apabila tahu sahaja saya menjadi kontak rapat (individu positif Covid-19), saya terus kuarantin kendiri di rumah sejak Isnin lalu.

“Selepas hari kelima berjumpa dengan kontak rapat, saya buat ujian calitan Covid-19 (PCR) di hospital, kalau buat ujian sendiri takut tak dapat keputusan yang betul.

“Sebaik selesai menjalani ujian calitan, terus pulang ke rumah kerana kita tidak tahu sama ada keputusan itu positif atau negatif,” ujarnya.

Tambah Fara atau nama lengkapnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, dia mula mengalami simptom seperti batuk, pening kepala dan badannya terasa sakit seperti dicucuk-cucuk pada hari sama menjalani ujian calitan.

“Tunggu keputusan kali ini agak mendebarkan sedangkan saya sudah selalu buat ujian calitan Covid-19. Saya kena tunggu sehingga 24 jam sebelum dihubungi pihak hospital yang mengesahkan saya positif Covid-19,” jelasnya.

Bekas pengacara Melodi itu sempat menitipkan pesanan buat mereka yang pertama kali dijangkiti virus pandemik ini.

Iklan

“Sebaik dapat tahu kita positif, kita harus terus hubungi siapa yang kita jumpa 3 hingga 5 hari sebelum kita menjalani kuarantin untuk tujuan keselamatan.

“Jangan takut untuk maklumkan pada mereka bahawa kita positif Covid-19. Minta mereka buat ujian calitan dan lakukan kuarantin kendiri jika perlu.

Iklan

“Nasib baik saya jenis terus balik rumah selepas habis bekerja dan kalau jumpa sesiapaun, saya tak bersalaman atau berpelukan. Jadi mereka yang menjadi kontak rapat, kurang.

“Kemudian kemaskini MySejahtera dan tunggu panggilan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” ujarnya.