SELEPAS kali terakhir mengadakan konsert pada 2012, penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir bakal muncul dengan Aku Faizal Tahir: Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 2 September ini.

Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 45, berkata, konsert itu adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya selama 17 tahun berada dalam industri.

“Kalau diikutkan saya memang pernah mengadakan konsert pada 2012, tetapi konsert kali ini saya kira berbeza dan lebih berskala besar.

“Malah konsert ini sebenarnya sudah dicadangkan sejak 2018 lagi oleh pengarah konsert, Jennifer Thompson. Namun ketika persiapan dibuat, salah seorang individu penting iaitu Aji meninggal dunia.

“Jadi saya tangguhkan dulu konsert itu. Walaupun beberapa kali dipujuk Jennifer, saya menolak. Hanyalah selepas melihat banyak komen peminat yang mahukan saya mengadakan konsert, barulah akhirnya saya bersetuju,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di JIOSpace, Petaling Jaya.

Menariknya, konsert ini akan membawa peminat melalui terowong masa sepanjang 17 tahun perjalanan karier nya.

Bukan sekadar mahu memegang predikat ‘aku penyanyi’, bintang berusia 45 tahun itu telah mencetak pelbagai prestasi — dari seorang penyanyi, komposer, penulis lirik, pemenang anugerah dan turut menyumbangkan bakat besar kurniaan Ilahi buatnya kepada rakan seperjuangan lain.

Faizal mahu peminat mendapat ‘sesuatu’ daripada persembahannya kelak.

Melalui Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjanjikan sesuatu yang berbeza kepada peminat dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi sama-sama untuk kita mengambil sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan.

Iklan

“Ada sesi perkongsian dari zaman poyo, tak sedar diri sampai sedar diri. Sebuah revolusi perjalanan itu akan ada dalam konsert ini,” jelasnya.

Sudah tentu lagu hit dari lima album termasuk Aku.Muzik.Kamu, Adrenalin, Faizal Tahir dan Anatomi & Rojak akan didendangkan.

Iklan

Sampai Syurga

Sebagai tanda kasih buat semua pihak yang mendukung perjalanan kariernya selama ini, Faizal merakamkan semula lagu Sampai Syurga yang akan menjadi hadiah atau momen paling berharga untuk didengarkan pada malam konsert.

“Besar harapan saya agar rakaman semula Sampai Syurga yang akan didendangkan nanti mampu mengimbau dan mengembalikan memori peminat untuk menghidupkan pengalaman konsert secara keseluruhan,” tambah Faizal lagi.

Tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111 (WhatsApp sahaja).