Home Hiburan Farahdhiya rancak merencana aktiviti seni

Farahdhiya rancak merencana aktiviti seni

0
Farahdhiya rancak merencana aktiviti seni

MINAT dan keterujaannya dalam bidang seni tidak pernah sedikitpun luntur meski hampir dua dekad mewarnai industri seni tanah air.

Justeru selepas pandemik Covid-19 kian mereda, penyanyi dan pelakon, Farahdhiya Mohd Amin, kembali rancak merencana aktiviti seninya. Banyak perancangan sedang diatur, malah misi seni beliau juga dikejar semula.

“Alhamdulillah setelah lebih dua tahun kerjaya seni terganggu disebabkan pandemik, kini kita semua dapat kembali aktif macam dulu.

“Sebelum puasa saya sempat menyelesaikan penggambaran untuk beberapa buah drama, sebelum kembali ke set drama baharu minggu depan.

“Saya juga masih aktif menyanyi seperti biasa, cuma mungkin jarang kelihatan di kaca televisyen kerana banyak terlibat dengan persembahan korporat. Syukur rezeki masih ada dalam bidang yang saya minati,” katanya.

Tidak hanya itu, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bertakhta Di Hati ini juga berkongsi, buat pertama kalinya bakal tampil dengan sebuah single baharu hasil ciptaannya sendiri.

Menyifatkan ia sebagai sesuatu hadiah istimewa yang tidak pernah dirancang, Farahdhiya mengakui teruja menunggu karya tersebut dilancarkan selepas Aidilfitri ini.

“Saya tidak sangka selepas 18 tahun dalam industri, baru sekarang mampu cipta lagu sendiri. Itu pun berlaku tanpa sengaja. Bagi saya, hal berkaitan kreativiti ini tidak boleh dirancang, sebaliknya ia datang dengan sendirinya.

“Lagu berjudul Tak Terganti itu sebenarnya didedikasikan buat arwah bapa saya. Ilham menghasilkan lagu itu tiba-tiba sahaja datang ketika saya teringatkan arwah bapa sehingga menitiskan air mata.

“Insya-ALLAH karya yang sangat menyentuh hati itu akan keluar selepas raya nanti dan ia juga bakal menjadi lagu tema untuk drama baharu lakonan saya tidak lama lagi,” jelasnya.

Menyentuh tentang sambutan Ramadan dan persiapan raya pada tahun ini, naib juara Gegar Vaganza musim kedua itu berkata, rutin beliau sedikit berbeza terutamanya selepas pemergian bapanya pada Januari 2020 yang lalu.

“Sepanjang Ramadan tahun ini saya banyak berada di rumah sahaja bersama keluarga. Kebetulan penggambaran drama lakonan saya juga ditangguhkan seketika.

“Seronok bila dapat berbuka puasa di rumah, solat sunat tarawih dan semestinya memasak juadah berbuka untuk abang. Dulu rutin saya masak untuk arwah bapa kerana dia memang suka ‘air tangan’ saya.

“Tentang persiapan raya, suasananya sudah berbeza selepas bapa tiada. Saya hanya berdua dengan abang sahaja, jadi keterujaan itu semakin berkurangan. Bagaimanapun, bab masak juadah raya masih sama kerana itu adalah tugas wajib saya,” katanya.

Iklan

Ramadan dan jodoh

Bagi mereka yang biasa mengikuti Instagram selebriti berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini pasti tahu beliau sangat hebat di dapur dan gemar berkongsi pelbagai jenis menu masakan.

“Jika mereka yang tidak mengenali saya secara dekat, mesti tak percaya saya seorang yang suka masuk dapur memasak. Hakikatnya, sejak dulu saya memang suka memasak dan banyak belajar daripada ibu saudara.

“Setiap kali raya memang sayalah yang akan jadi tukang masak dan sediakan pelbagai juadah sehingga jam 3 pagi.

“Disebabkan minat dan kemahiran itu jugalah, saya ada merancang untuk membuka restoran sendiri. Sebelum pandemik, saya sebenarnya sudah meninjau beberapa lokasi sesuai, namun tetapi bila semua ini berlaku kenalah tunggu keadaan reda terlebih dahulu,” jelas beliau bersyukur sempadan negara dibuka, sekali gus boleh melawat ibunya yang menetap di England.

Menyentuh sedikit tentang kehidupan peribadinya, figura 38 tahun itu mengakui masih belum bertemu cinta hati yang bakal sehidup semati.

Iklan

“Tidak dinafikan ada yang mendekati, tetapi sehingga kini belum bertemu yang sesuai dengan saya. Sebelum ini pun saya jarang berkongsi hal sebegitu kerana anggap ia terlalu peribadi.

“Walaupun cara hidup saya nampak moden, tetapi secara jujurnya saya agak ‘old fashion’ dalam soal ini. Saya ada rasa segan untuk terlalu bercerita soal jodoh yang belum pasti.

“Apa-apa pun, insya-ALLAH jika bertemu jodoh nanti, saya pasti akan kongsikan dengan semua,” katanya yang menolak cinta daripada lelaki berstatus suami orang.

(FOTO: Universal Music Malaysia)