Farisha Iris elak gimik murahan
PENGLIBATAN Farisha Iris dalam dunia seni bukan setahun dua, sebaliknya gadis berusia 22 tahun ini sudah bermula sejak sedekad lalu.
Walaupun masih belum dikenali ramai, pemilik nama penuh Farisha Iris Asmadi, tidak pernah jemu untuk memperkenalkan bakat nyanyian yang dimiliki. Baginya, itu adalah minat dan sudah sebati dalam diri.
Seperti mana tingginya cita-cita yang ingin digapai, begitu juga besar harapan naib juara Idola Kecil 4 dan pemenang tempat ketiga Ceria Popstar itu untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya seni.
Meskpun laluannya tidak mudah, Farisha tetap berpegang pada prinsip yang mana tidak akan berputus asa.
Termasuk juga apabila bercakap soal sengaja mencipta gimik murahan semata-mata mahu segera popular.
“Kalau gimik daripada pandangan netizen, mereka cepat percaya dan suka dengan ‘drama’ yang hebat. Sekali gus, dapat menarik perhatian dan promosi percuma. Sudah pasti perkara itu dapat menaikkan nama.
“Namun, daripada pandangan sebagai penyanyi, saya tidak gemar untuk melakukan sebarang gimik. Biarlah setiap yang dihasilkan itu berlaku secara semula jadi.
“Walaupun sambutan tidak sehebat yang ada gimik tapi itu kenyataan,” ujarnya.
Tambah Farisha, dia punya pendekatan supaya lagu dan nama bergerak seiring tanpa perlu melalui satu fasa yang mana harus berdepan kecaman orang ramai.
“Pendekatan saya supaya orang sayang dan hargai bakat saya adalah kena letakkan usaha yang lebih dari segi bakat, pemilihan lagu dan tambahkan pengalaman dalam industri.
“Saya ada juga terfikir untuk terus ambil kelas vokal supaya makin bertambah baik.
“Mungkin, saya juga kena cuba bakat lain selain menyanyi iaitu berlakon atau mengacara. Sebab kita tak tahu pada akhirnya nanti apa yang sesuai dan sebati dengan diri sendiri.
“Andai kata saya tidak ada rezeki dalam nyanyian, tidak raih ramai pendengar, saya terbuka untuk cuba bidang lain,”jelasnya.
Kerjasama dengan Alan D
Terbaharu, selepas muncul dengan Hello pada awal tahun ini, Farisha melancarkan pula single Baek yang turut berkolaboratif dengan rapper Alan D.
Lagu ciptaan komposer Mingaling dan lirik oleh Amir Hasan ini adalah terbitan syarikat rakaman 17 Eleven Music yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari lalu.
“Pada awal 2021, saya sudah ulang alik ke studio Mass Music untuk lebih kenal dengan komposer dan penulis lirik lagu Baek.
“Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang inginkan lelaki yang jujur dan setia. Apabila mereka sudah bersama, wanita ini minta lelaki itu menjaga dirinya dengan baik.
“Cabaran merakamkan lagu ini adalah saya kena sesuaikan diri dengan genre pop, sebab bunyi lagu ini sangat urban dan lebih kepada penceritaan,” katanya.
Ditanya berkenaan kolaboratif dengan rapper Alan D, menurut Farisha, dia teruja apatah lagi pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D.
“Apabila kali pertama saya diberitahu dapat ‘featuring’ dengan Alan D, secara automatik saya teringat lagu Alan D bersama Faizal Tahir iaitu Luka Hati.
“Jadi, harapan saya untuk single terbaru ini agar ia mendapat maklum balas dan sambutan yang baik daripada semua pendengar. Insya-ALLAH saya akan terus menghiburkan semua orang,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang