Fasha Sandha bukti masih kekal relevan

A
A
A

KEHADIRAN bakat-bakat baharu dalam industri seni bagai tidak menggugat figura ini.

Bahkan pada usia 38 tahun, pelakon berbakat besar, Fasha Sandha membuktikan dia masih relevan biarpun ada bintang seangkatannya bergelut untuk terus kekal dalam industri seni.

Tidak hanya menerima tawaran membawakan watak utama, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu masih dipilih sebagai duta pelbagai jenama.

“Alhamdulillah, rezeki saya memang sangat murah tahun ini. Saya sudah dilantik sebagai duta untuk beberapa jenama.

“Walaupun negara masih bergelut dengan Covid-19, tetapi banyak perniagaan sudah bermula semula dan mereka beri kepercayaan kepada saya untuk menjadi wajah atau duta kempen produk.

“Tawaran berlakon pun begitu. Saya memang bersyukur sangat, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan Fasha Sandha sebagai duta Koleksi BellaRaya 2022 baru-baru ini.

Pada majlis itu, pemilik Bella Ammara, Sharifah Nabilla Al-Yahya mengumumkan Fasha dan Zizi Kirana selaku wajah baharu bagi koleksi Ramadan dan Raya Bella Ammara iaitu Telekung Kirasha.

Telekung Kirasha, didatangkan dalam empat warna berbeza, dilengkapi dengan telekung cotton premium, sejadah, tote bag, bag kanvas dan kotak eksklusif.

Mengulas mengenai pelantikannya, Fasha mengakui terkejut pada awalnya apabila jenama itu melamarnya sebagai duta telekung, sementelah dia sendiri tidak bertudung.

“Sejujurnya sebaik pengurus maklumkan mengenai tawaran ini, saya terkejut juga dan persoalkan kepadanya adakah orang akan mempertikaikan imej saya apabila terima tawaran ini.

“Bagaimanapun pengurus maklumkan, pihak Bella Ammara sendiri mahukan saya dan mereka katakan telekung ini bukan untuk orang sudah berhijab sahaja.

“Jadi saya sangat tersentuh sebab mereka begitu positif dan tidak double standard. Mana tahu suatu hari nanti saya akan berhijrah juga dan tawaran ini memberi suntikan semangat untuk berubah,” jelasnya.

FASHA SANDHAFasha dan Zizi bersama pemilik Bella Ammara, Belle Al-Yahya (gambar kiri). Dua bintang itu dilantik menjadi duta kempen Ramadan dan Syawal jenama itu serta menjadi duta telekung Kirasha.

Cari keberkatan

Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, dia juga tidak menerima tawaran sebagai duta kerana wang semata-mata, sebaliknya segala berpaksikan pada kualiti dan keberkatan.

“Walaupun bergelar duta kepada beberapa jenama, tetapi saya tidak ambil secara semberono dan terima hanya kerana jumlah wang yang ditawarkan.

“Dalam pada kita mencari rezeki, perlu ada keberkatan. Jadi saya hanya terima tawaran berkualiti seperti ini,” ujarnya.

Selain duta produk, Fasha kini sedang sibuk menjalani penggambaran 80 episod untuk siaran Astro Prima, Dendam Seorang Isteri yang akan menemui penonton bermula 21 Mac depan dan sebuah lagi drama lakonannya, Khilaf Asmara akan ditayangkan April depan di slot Samarinda TV3.

Sementara itu, ditanya bilakah dirinya akan bertudung, Fasha akui sedang berusaha ke arah itu dan mahu memastikan kekal istiqamah apabila sudah berhijrah.

“Bohonglah kalau kata tak ada keinginan untuk berhijrah (bertudung). Nak berhijrah itu mudah, tetapi kekal istiqamah itu yang sukar.

“Saya tak mahu bila sudah bertudung, kemudian buka semula, itu yang dibimbangkan. Mana tahu berkat jadi duta tudung dan telekung, akan menjadi lebih baik. Doakan saya,” tuturnya menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca