JIKA ada sesetengah selebriti memilih jalan singkat untuk mempopularkan produk keluaran mereka, lain pula pandangan penyanyi dan pelakon, Fazura.

Ujar pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, dia mengutamakan keberkatan dalam apa jua yang dilakukan dan menetapkan niat baik supaya kerja dapat dilakukan dengan telus.

“Rezeki ALLAH sentiasa ada untuk kita. Alhamdulillah, saya tidak pernah buat gimik untuk lariskan produk.

“Bagaimanapun ditakdirkan ada rezeki yang hadir, saya bersyukur sebab tidak perlu buat perkara-perkara merapu.

“Malah saya percaya sebelum berbuat sesuatu, pastikan dulu niat kita betul supaya kerja dapat dilakukan dengan telus,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran telekung eksklusif koleksi ‘Fazura x Muhayya’, kolaboratif bersama Datuk Profesor Muhaya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah wanita berusia 38 tahun itu, dia sentiasa mengelak budaya tikam-menikam atau cuba menjatuhkan perniagaan orang lain yang biasanya terjadi ekoran timbul perasaan iri hati.

Pelakon Langit Cinta itu turut mengelak berbuat perkara negatif kerana enggan sesuatu yang buruk menimpa perniagaan diusahakannya.

“Kalau buat untuk viral, popular atau kerana mahu bersaing dengan jenama lain dengan niat kurang baik, kita pasti akan menemui kegagalan.

“Jika nak kekayaan datang sendiri kerana ALLAH, bersihkan dulu niat sebelum buat apa-apa, insya-ALLAH akan dipermudahkan-NYA,” tutur Fazura.

Rezeki

Berkongsi perkembangan lain, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu berkongsi keterujaannya untuk kembali berlakon namun meletakkan syarat tertentu sebelum menerima sesuatu tawaran.

Jelas ibu Nur Fatima Aisya ini, dia kini tertarik jika mendapat peluang menjayakan karakter yang lebih menjurus ke arah perjuangan dan semangat kental seorang wanita.

Iklan

“Saya serik untuk melakonkan watak berkaitan percintaan tiga segi, termasuk wanita yang berebut lelaki dalam karya.

“Cukuplah. Saya tak mahu jayakan karakter sama. Kita wanita tak perlu menangis sebab lelaki. Saya nak lakonkan sesuatu naskhah yang membawa manfaat.

“Jika dipermudahkan dan ALLAH izinkan, lepas Aidilfitri nanti, saya akan berlakon sebuah drama bersiri. Inilah hadiah untuk semua yang rindukan lakonan saya,” ujarnya.

Iklan

Sementara itu, berkongsi keterujaan kerana kerjasama mengeluarkan jenama telekung bersama pakar mata dan motivasi, Prof Muhaya Mohamad, Fazura mengakui sudah lama meminati produk keluaran figura popular itu.

“Bila terima mesej pesanan ringkas daripada bonda untuk bekerjasama bagi koleksi telekung bersama jenamanya, Muhayya Magical, saya amat gembira kerana dia antara insan yang saya kasihi.

“Koleksi Fazura x Muhayya ini menampilkan dua koleksi, Rindu Ramadan dan Sayang Syawal yang terdiri dari pelbagai warna-warna yang menarik,” ujarnya.