PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) memandang serius isu cetak rompak yang terus berlaku membabitkan filem tempatan yang masih ditayangkan kepada umum.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim berkata, kejadian terbaharu yang melibatkan filem Hantu Kuat Ketawa, arahan Mawi memberi gambaran bahawa industri filem Malaysia masih tidak selamat daripada menjadi mangsa cetak rompak.

“FDAM mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang sengaja melakukan perbuatan cetak rompak membabitkan filem tempatan.

“Pihak kami ada berhubung dengan Mawi yang memaklumkan filem terbaharunya itu menjadi mangsa cetak rompak.

”Kami bersedia membantu Mawi yang juga ahli FDAM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar kegiatan cetak rompak ini tidak berlaku lagi kepada filem lain pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Ibrahim menggesa pihak berkuasa sama ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera menangani kes cetak rompak digital.

Iklan

“Individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti cetak rompak ini merupakan lanun dalam industri perfileman negara yang perlu diberi hukuman setimpa.

Iklan

“Tindakan tegas perlu diambil agar menjadi pengajaran kepada mereka agar tidak sewenangnya melakukan jenayah siber ini,” katanya.

Filem Hantu Kuat Ketawa yang mula ditayangkan di saluran Astro First pada 27 Januari lalu menampilkan lakonan Saiful Apek, Syanie Hisham, Along Cham dan Zarina Anjoulie Lavocah.